Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Penipuan baru ini cuba imbas kod QR Singpass anda

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Penipuan baru ini cuba imbas kod QR Singpass anda

Gambar: Singapore Police Force

Diterbitkan : 23 Feb 2022 08:24AM Dikemas Kini : 23 Feb 2022 09:06AM

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (22 Feb) memberi amaran mengenai kemunculan kes penipuan baru yang melibatkan pengimbasan kod QR Singpass untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan digital bagi tujuan menipu.

Dalam kenyataan medianya, SPF turut mendedahkan bahawa penipuan itu melibatkan tinjauan palsu yang kononnya dijalankan bagi pihak syarikat-syarikat atau pertubuhan-pertubuhan terkenal di Singapura, dengan para peserta tinjauan direkrut melalui saluran-saluran seperti forum online dan lelaman e-dagang.

Para penipu biasanya akan berkomunikasi dengan mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan menjanjikan mereka ganjaran dalam bentuk wang jika mereka menyertai tinjauan palsu itu, menurut polis.

"Selepas melengkapkan tinjauan palsu itu, para penipu akan meminta mangsa mengimbas kod QR Singpass menggunakan aplikasi Singpass mereka dan mendakwa bahawa ia adalah sebahagian daripada proses pengesahan untuk mendapatkan semula hasil tinjauan mereka untuk membayar ganjaran tersebut," menurut polis.

SPF memberi amaran bahawa kod QR Singpass yang diberikan oleh penipu sebenarnya adalah tangkap layar skrin laman web yang sah.

Mengimbas kod tersebut dan meluluskan urus niaga tanpa pemeriksaan lanjut akan memberikan penipu akses kepada perkhidmatan online tertentu, menurut polis.

"Mangsa hanya akan menyedari sesuatu yang tidak kena apabila diberitahu tentang transaksi berkenaan oleh pihak penyedia khidmat telekomunikasi atau bank mereka ataupun apabila mereka menerima pemberitahuan dalam 'inbox' Singpass mereka yang memaklumkan bahawa butiran peribadi mereka sudah diambil."

Polis menarik perhatian bahawa proses log masuk Singpass memerlukan keizinan dan pengesahan pengguna melalui pengesahan biometrik atau kod laluan pada peranti peribadi pengguna.

"Singpass tidak akan menghantar kod QR melalui SMS, aplikasi WhatsApp dan platform pengiriman mesej bukan rasmi yang lain," menurut SPF.

Polis memberi amaran meskipun Singpass mempunyai "langkah-langkah keselamatan yang ketat", orang ramai perlu terus berwaspada dan mematuhi proses keselamatan.

Ini termasuk tidak mengimbas kod QR Singpass yang dihantar oleh orang lain dan hanya mengimbas kod QR pada laman web rasmi e-perkhidmatan tertentu atau sebaliknya mengetik kod QR pada aplikasi rasmi khidmat-khidmat tersebut.

Polis juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membuat pengesahan dengan sumber-sumber rasmi.

SPF menambah para pengguna juga harus memastikan domain URL yang dipaparkan pada aplikasi Singpass mereka sepadan dengan alamat pengimbas kod dan jangan log masuk jika ia tidak sepadan.

Maklumat seperti ID Singpass, kata laluan dan butiran Pengesahan Dua Faktor (2FA) juga tidak sepatutnya didedahkan kepada orang lain, menurut polis, sambil menambah bahawa aktiviti mencurigakan harus dilaporkan kepada talian bantuan Singpass di 6335 3533.

Polis mengeluarkan amaran tersebut selepas kes-kes penipuan yang dilaporkan di Singapura melonjak pada tahun lalu sehingga mencecah 23,931 kes, membentuk lebih separuh daripada semua jenayah yang dilaporkan di Singapura.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan