Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Penipu samar diri jadi pelanggan, sasar perniagaan F&B dengan pesanan, tempahan palsu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Polis pada Selasa (13 Dis) menggesa perniagaan dan masyarakat awam agar berjaga-jaga terhadap skim penipuan tempahan palsu di restoran di tengah-tengah musim perayaan. 

Skim penipuan tersebut melibatkan pelanggan palsu yang menghubungi pengendali makanan dan minuman (F&B), seperti restoran, untuk membuat tempahan beberapa meja dan meminta barangan mahal yang tidak tersenarai dalam menu, seperti makanan laut atau wain mahal. 

Kemudian, penipu tersebut akan memberikan maklumat mengenai pembekal palsu bagi barangan tersebut, dan memberitahu pengendali F&B itu bahawa bayaran pendahuluan atau bayaran sudah dibuat "pelanggan" kepada akaun bank mangsa.

Dalam sesetengah kes, pelaku akan mengirimkan tangkapan skrin yang palsu, menunjukkan wang yang dipindahkan ke akaun bank pengendali F&B berkenaan, tambah polis. 

Mangsa kemudian akan diminta menghubungi pembekal palsu itu untuk membuat bayaran bagi barangan yang tidak tersenarai dalam menu dan telah dipesan oleh penipu berkenaan.

"Mangsa hanya akan sedar bahawa mereka sudah ditipu apabila mereka mendapati tidak menerima sebarang bayaran daripada 'pelanggan', atau barangan yang tidak disenaraikan dalam menu itu tidak dihantar atau 'pelanggan' itu tidak boleh dihubungi," menurut polis. 

Polis menggesa pemilik perniagaan agar berwaspada terhadap skim penipuan seumpama itu dan menasihatkan pengendali F&B supaya elak membuat bayaran atau deposit apabila berurusan dengan pembekal baru. 

Pengendali sebaliknya harus membuat aturan untuk berjumpa pembekal dan membuat bayaran selepas barangan dihantar, tambah kenyataan tersebut. 

Peniaga juga harus membuat carian online mengenai pembekal itu untuk menentukan kesahihan mereka sebelum melakukan sebarang pembelian. 

Orang ramai boleh melayari www.scamalert.sg atau menghubungi Hotline Anti-Scam di 1800-722-6688 untuk maklumat lanjut. 

Sesiapa saja yang mempunyai maklumat mengenai skim penipuan seumpama itu boleh menghubungi polis di 1800-255-0000 atau www.police.gov.sg/iwitness.

Sumber : Today/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan