Awas! Penipu menyamar sebagai kakitangan Maybank, laporan polis dibuat
(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Maybank memberi amaran kepada orang ramai mengenai penipu yang menyamar sebagai kakitangan bank tersebut melalui panggilan telefon selepas menerima lebih 20 laporan daripada pelanggan dan orang awam sejak Isnin (25 Apr).
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Maybank menyatakan penipu berkenaan akan memberitahu sasaran mereka bahawa ada akaun perbankan yang tidak dibenarkan dibuka atas nama mereka ataupun sejumlah besar wang dipindahkan ke bank lain.
Penipu berkenaan kemudian akan memberitahu sasaran mereka untuk mengikut arahan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Maybank sudah membuat laporan polis dan siasatan masih dijalankan.
Maybank turut menyatakan bahawa nombor berikut bukan nombor talian Maybank yang sah:
+65 6275 6780
6275 9109
+65 6275 9334
+65 6275 0412
+65 6275 4866
Pada Selasa (26 Apr), Maybank memaklumkan pelanggannya mengenai penipuan tersebut melalui notifikasi aplikasi yang dilihat oleh Mediacorp.
"Melalui saluran perhubungan kami seperti media sosial, laman web amaran penipuan dan aplikasi mudah alih, pihak bank terus memberitahu pelanggan untuk sentiasa berwaspada dan tidak mengongsikan butiran peribadi dan maklumat perbankan atau OTP kepada sesiapa, terutama sekali kepada panggilan telefon tanpa diminta atau melalui emel," menurut Maybank pada Rabu.
"Kami ingin beri jaminan kepada pelanggan bahawa keselamatan online pelanggan amat penting buat syarikat kami dan kami sentiasa tingkatkan usaha untuk melindungi pelanggan kami."
Untuk mengesahkan kesahihan panggilan telefon daripada pegawai Maybank, anda boleh menghubungi bank tersebut di talian rasmi 1800-MAYBANK (1800-629 2265) atau (65) 6533 5229 (luar negara).
Untuk melaporkan sebarang urus niaga tanpa kebenaran kepada akaun pelanggan yang dilakukan melalui saluran laporan ekspres, sila hubungi talian rasmi Maybank dan tekan STAR *1.
Pada Januari, bank di Singapura memberi amaran tentang penipuan pancingan data menerusi SMS yang menyasarkan pelanggan, berikutan beberapa kes yang serupa.
Ratusan pelanggan Bank OCBC menjadi mangsa penipuan pancingan data online pada Disember 2021, dengan jumlah kerugian sebanyak S$13.7 juta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.