Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Penipu hantar emel, samar diri jadi pegawai CASE

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada Selasa (11 Okt) memberi amaran mengenai emel palsu daripada "pengirim yang menggunakan nama samaran" dan menyamar sebagai pegawainya setelah server emel yang dikendalikan penyedia khidmat itu, digodam. 

Emel pancingan data yang dikirimkan daripada dua alamat emel - online-submission [at] case.org.sg dan mediator1 [at] case.org.sg - meminta pengguna yang membuat aduan menerusi laman web CASE untuk membuat bayaran bagi menerima pampasan. 

Walaupun emel tersebut dihantar daripada alamat emel yang mungkin pernah digunakan CASE untuk menghubungi penggunanya, notifikasi terkini yang diterima pengguna bukan daripada CASE, menurut agensi itu.  

Dalam emel tersebut, pengguna diminta menyertai ruang sembang secara langsung dan mendapatkan rakan bank untuk melakukan urus niaga bayaran berhubung aduan mereka untuk menerima pampasan. 

"CASE tidak akan mengarahkan pengguna menerusi emel atau ruang sembang langsung untuk melayari  laman web lain dan mengisikan butiran perbankan mereka," menurut CASE. 

CASE menyatakan ia mula menerima aduan mengenai emel pancingan data itu pada 8 Oktober dan setakat pukul 2.00 petang Selasa (11 Okt), 5,095 emel sudah dikirimkan. 

CASE menyatakan selepas mengesahkan bahawa server emel yang dikendalikan penyedia khidmatnya digodam, ia bekerjasama dengan rakan IT untuk menggantung alamat emel yang terjejas dan mengatur semula akaun emel supaya lebih banyak emel palsu tidak dihantar. 

"Rakan IT kami juga melakukan pemeriksaan menyeluruh dan mengesahkan bahawa pangkalan data dan laman web kami masih selamat," tambah CASE. 

Siasatan mendapati bahawa akses yang tidak diluluskan itu terhad pada alamat emel pengguna dan semua maklumat peribadi mereka masih selamat. 

CASE menasihatkan pengguna yang menerima notifikasi emel untuk tidak menekan pautan tersebut mahupun memberi butiran peribadi serta perbankan. 

Pengguna yang menerima emel notifikasi tersebut dan mereka yang melakukan urus niaga bayaran  harus membuat aduan polis dan di talian antipenipuan secepat mungkin, tegas CASE. 

CASE menyatakan ia sudah mengambil tindakan segera "untuk menentukan skala kejadian dan kesannya", sambil menambah bahawa ia sedang melakukan siasatan lanjut untuk "mengenal pasti punca insiden tersebut". 

"Kami sudah melaporkan insiden berkenaan kepada polis dan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dan sedang memberi bekerjasama sepenuhnya untuk menghuraikan insiden ini. 

"Kami juga akan bekerjasama dengan rakan IT untuk mengukuhkan lagi sistem keselamatan siber kami untuk mengelak perkara ini daripada berlaku lagi."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan