Skip to main content

Singapura

Awas! Oddle Eats beri amaran terhadap kes penipuan; penyamar kirim mesej melalui WhatsApp

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para penipu sedang menyamar sebagai kakitangan syarikat penghantaran makanan dan aplikasi tempahan Oddle Eats,
dalam percubaan untuk mendorong orang ramai mendedahkan maklumat peribadi mereka secara online.

Dalam satu emel yang dikirimkan kepada para pelanggan pada Rabu (21 Jun), Oddle Eats memberi amaran terhadap penyamar yang menghantar pautan kepada "tinjauan" menerusi platform mesej Whatsapp kepada orang ramai secara rambang dan mendakwa diri mereka sebagai kakitangan syarikat tersebut.

Oddle Eats menyatakan bahawa pihaknya pertama kali dimaklumkan tentang penipuan itu pada Khamis (15 Jun) selepas orang awam menghubunginya tentang kesahihan mesej tersebut.

Syarikat itu menyatakan pasukan teknologinya segera menyiasat insiden itu untuk memastikan tiada kebocoran data yang berlaku.

Pihaknya menambah bahawa tiada kegiatan mencurigakan yang ditemui dan "tiada tanda-tanda berlakunya kebocoran data".

Memandangkan pengguna yang tidak menggunakan aplikasi Oddle Eats dihubungi penipu, syarikat tersebut membuat kesimpulan bahawa insiden itu dirancang oleh kumpulan berniat jahat yang menyamar sebagai kakitangan Oddle Eats untuk menghubungi orang ramai menggunakan maklumat yang diperolehi secara haram.

Oddle Eats menyatakan pihaknya sudah membuat aduan polis pada Isnin (19 Jun) dan kurang dari 20 orang sudah menghubungi pasukan sokongan untuk mendapatkan bantuan.

Syarikat tersebut menggesa orang awam supaya berjaga-jaga sedang kes penipuan itu semakin berleluasa, dengan lebih ramai penipu menyamar sebagai kakitangan jenama atau aplikasi lain.

"Ini juga satu peringatan bahawa satu-satunya cara Oddle akan menghubungi anda adalah melalui akaun yang disahkan oleh kami, iaitu melalui kiriman SMS atau WhatsApp dengan nama 'Oddle' atau 'Oddle Eats' sahaja, menurut syarikat itu.

Jika dihubungi penyamar, Oddle Eats juga menggesa orang awam untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi mereka kepada penyamar tersebut serta menyekat dan melaporkan nombor berkenaan kepada WhatsApp.

Orang awam boleh menghubungi Oddle Eats menerusi perbualan secara langsung atau menghantarkan emel kepada syarikat itu di contact-eats [at] oddle.me bagi mendapatkan sebarang bantuan.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita