Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Lebih banyak penipuan emel perniagaan palsu

Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan hari ini (11 Sep) memberi amaran jumlah penipuan yang melibatkan alamat emel palsu semakin meningkat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Sep 2018 12:26PM Dikemas Kini : 11 Sep 2018 09:26PM

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan hari ini (11 Sep) memberi amaran jumlah penipuan yang melibatkan alamat emel palsu semakin meningkat.

Menurutnya, lebih 200 laporan mengenai penipuan yang melibatkan emel perniagaan palsu diterima antara Januari dengan Julai tahun ini, peningkatan sebanyak 9.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Kes-kes tersebut biasanya melibatkan perniagaan yang mempunyai urusan perniagaan di luar negara dan menggunakan emel sebagai wadah utama untuk berkomunikasi, tambah polis.

Dalam kebanyakan kes, para penipu dipercayai menggodam sama ada akaun emel mangsa atau pembekal mereka untuk memantau urus niaga mereka melalui emel. Mereka akan mencari terutamanya, emel yang berkaitan dengan rundingan yang berterusan atau perbincangan mengenai penjualan dan bayaran pembelian.

Mereka kemudian akan menggunakan akaun emel pembekal atau akaun palsu, yang seakan-akan serupa dengan alamat emel pembekal, untuk meminta mangsa memindahkan wang ke akaun bank yang sebenarnya dikawal oleh para penipu.

Polis memberi contoh alamat emel palsu, yang menurut mereka sering mempunyai salah ejaan atau penggantian huruf, yang mungkin tidak dapat dikesan sekali imbas.

Untuk menipu mangsa dengan menyangka bahawa emel-emel tersebut adalah tulen, para penipu mungkin meniru gaya emel pembekal sebenar. Sebagai contoh, mereka mungkin menggunakan logo perniagaan yang sama, pautan ke laman syarikat, atau format pesanan, kata polis.

Mangsa akan mempercayai bahawa mereka sudah menerima emel yang tulen dari pembekal mereka dan memindahkan wang ke akaun bank baru. Mereka hanya sedar sudah ditipu apabila dimaklumkan pembekal bahawa pihaknya belum menerima wang tersebut.

Perniagaan-perniagaan yang terjejas akibat penipuan sebegitu harus menghubungi bank mereka dengan segera untuk membatalkan pemindahan tersebut, kata polis.

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

Dalam kenyataan yang sama, SPF menasihatkan perniagaan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan berikut:

Berwaspada terhadap sebarang arahan pembayaran baru dan akaun bank baru. Sentiasa periksa semula arahan-arahan yang diberikan dengan menghubungi rakan perniagaan anda di nombor yang dipercayai. Gunakan nombor telefon yang sedia ada dan bukan nombor yang diberikan dalam emel yang palsu.

Didik para pekerja anda mengenai penipuan seperti ini, terutamanya mereka yang bertanggungjawab melakukan pemindahan wang.

Elakkan akaun emel anda daripada digodam dengan menggunakan kata laluan yang kuat, mengubahnya dengan kerap, dan membolehkan pengesahan dua faktor di mana mungkin. Juga mempertimbangkan untuk memasang perisian perlindungan emel yang dapat mengesan emel palsu.

Pasang anti-virus, anti-spyware/malware, dan firewall pada komputer anda, dan terus memastikan komputer anda dikemaskini. Gunakan juga sistem pengendalian komputer terkini dan pastikan ia dikemas kini apabila terdapat sistem-sistem baru.

Polis menambah bahawa sesiapa yang ingin memberikan sebarang maklumat berkaitan dengan jenayah itu boleh menghubungi hotline polis di 1800-255-0000, atau mengemukakannya secara online di www.police.gov.sg/iwitness. Mereka yang memerlukan bantuan polis segera boleh menghubungi 999.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan anti-penipuan di 1800-722-6688 atau mengunjungi www.scamalert.sg. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan