Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas, krim ruam ini boleh menyebabkan simptom Sindrom Cushing pada kanak-kanak!

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Orang ramai dinasihatkan supaya jangan membeli krim ruam yang mengandungi empat ramuan ubat yang kuat termasuk dua steroid.

Pengunaan produk yang diberi nama Tao Ju Hui Yi Mei Li Shang Kou Hu Li Ruan Gao menyebabkan simptom Sindrom Cushing pada kanak-kanak berusia empat tahun termasuk "muka bengkak", kulit menjadi tipis dan pertumbuhan rambut yang keterlaluan pada tubuh, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam kenyataan medianya pada Khamis (22 Dis).

Sindrom Cushing adalah keadaan kesihatan yang serius disebabkan oleh penggunaan steroid yang berpanjangan.

Simptom tersebut dikesan apabila kanak-kanak itu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi jangkitan pernafasan atas.

"Ibu bapa kanak-kanak itu menggunakan Tao Ju Hui Yi Mei Li Shang Kou Hu Li Ruan Gao pada anaknya dengan kerap bagi merawat ruam selama empat bulan," dedah HSA.

Ibu bapa itu membeli krim tersebut daripada seorang peniaga tempatan di sebuah gerai sementara di Eunos, tambah pihak berkuasa.

"Produk itu dijual secara online sebagai 'krim bayi', dan menurut label yang dilekatkan pada ubat tersebut, ia boleh 'digunakan bagi merawat luka kecil dan melecet' dan 'bertindak sebagai penghalang fizikal dengan membentuk lapisan pelindung pada permukaan luka," kata HSA.

"Produk itu juga dilabel secara palsu seolah-olah ia 'mengandungi bahan-bahan yang tidak boleh diserap oleh tubuh' dan 'bahan-bahan dalam krim itu tidak mempunyai kesan perubatan."

Bercanggah dengan tuntutan-tuntutan itu, analisis HSA ke atas krim itu mendapati ia mengandungi steroid clobetasol propionate dan dexamethasone, serta antibiotik chloramphenicol dan ubat antikulat, ketoconazole.

Menurut HSA, bahan-bahan tersebut "boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius, terutamanya pada kanak-kanak, jika digunakan tanpa penyeliaan perubatan".

Walaupun gerai sementara di Eunos itu tidak lagi beroperasi, HSA mendapati ubat tersebut dijual di platform e-dagang Shopee dan Lazada, Facebook dan melalui laman web yang diberi nama Feili Health House.

Bagi sesiapa saja yang sudah menggunakan ubat Tao Ju Hui Yi Mei Li Shang Kou Hu Li Ruan, mereka harus berjumpa doktor secepat mungkin, kata HSA, sambil menasihatkan supaya jangan berhenti menggunakan krim itu secara mendadak.

"Jika seseorang berhenti menggunakan produk tersebut secara tiba-tiba tanpa penyeliaan perubatan, ia akan memburukkan lagi keadaan kulit dan simptom serius lain seperti rasa letih, pening dan tekanan darah rendah," dedah HSA.

Penjual dan pembekal yang menjual produk tersebut boleh didakwa dan jika didapati bersalah, mereka berdepan dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan dan pembekalan ubat Tao Ju Hui Yi Mei Li Shang Kou Hu Li Ruan Gao boleh menghubungi Cawangan Penguatkuasaan HSA di talian 6866 3485 atau melalui emel di hsa_is [at] hsa.gov.sg.
Sumber : CNA/AE/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan