Awas! Kod QR palsu ditampal di kolong blok HDB, kononnya pautan maklum balas
Pihak berkuasa pada Jumaat (20 Jan) memberi amaran mengenai poster mengandungi kod QR palsu yang ditampal di lobi lif sesetengah blok HDB.
(Gambar: Pejabat Perkhidmatan Perbandaran)
SINGAPURA: Pihak berkuasa pada Jumaat (20 Jan) memberi amaran mengenai poster mengandungi kod QR palsu yang ditampal di lobi lif sesetengah blok HDB.
Poster itu akan meminta maklum balas mengenai estet perumahan berkenaan sambil tertera kod QR yang kononnya adalah kod QR OneService (OS) Lite namun sebaliknya ia akan membawa pengguna ke laman pancing data yang meminta maklumat peribadi, menurut Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) dalam satu kenyataan media.
MSO beroperasi di bawah Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah berhubung isu-isu berkaitan perkhidmatan perbandaran.
OS Lite merupakan satu inisiatif yang membolehkan penduduk melaporkan sebarang isu atau membuat aduan menerusi borang online.
Jawatankuasa Penduduk West Edge menemui poster-poster berkenaan pada Khamis malam (19 Jan) di lobi lif beberapa blok HDB di West Terra dan West Edge di Bukit Batok dan segera bertindak untuk menanggalkan kesemua poster itu, menurut MSO.
"Kod QR palsu itu meniru fungsi OS Lite, dan pengguna yang mengimbas kod QR itu dibawa ke sebuah laman yang mengandungi borang online untuk mereka memberikan maklum balas dan meminta nama, alamat emel, nombor kontak dan alamat," menurut MSO.
Petikan skrin laman pancing data itu juga kelihatan menawarkan pinjaman gadai janji di bawah nama OneService, sambil mendakwa ia membantu pengguna mendapatkan "kadar terbaik bank".
MSO telah memaklumkan semua majlis bandaran mengenai kejadian itu dan pihak majlis bandaran sedang melakukan pemeriksaan pada kod QR OS Lite.
"Satu aduan polis juga telah dibuat dan laman penipuan itu dipadamkan dan digantikan dengan makluman yang menyatakan ia disyaki sebagai laman skim penipuan."
MSO menyatakan ia juga sedang membantu polis dalam siasatannya dan akan bekerjasama dengan majlis-majlis bandaran untuk memantau bagi sebarang kegiatan mencurigakan.
"Kami menggesa orang awam supaya terus berwaspada apabila mengakses laman online dan sentiasa periksa jika laman itu adalah sah sebelum menyerahkan butiran peribadi anda," katanya sambil menambah bahawa saluran OneService akan membawa pengguna ke laman dengan domain pada gov.sg.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.