Awas! Jangan terpedaya skim penipuan libatkan tawaran palsu EZ-Link, SimplyGo
Polis pada Jumaat (28 Mac) memberi amaran mengenai skim pancingan data melibatkan iklan palsu EZ-Link atau SimplyGo di wadah media sosial.
Petikan skrin skim pancingan data melibatkan iklan palsu EZ-Link atau SimplyGo di wadah media sosial. (Gambar: SPF)
Sekurang-kurangnya 97 kes sedemikian dilaporkan sejak 1 Mac, dengan kerugian dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya S$156,000, menurut polis dalam satu kenyataan media.
Para mangsa melihat iklan atau catatan di Facebook dan Instagram yang kononnya daripada EZ-Link atau SimplyGo, di mana ia menawarkan promosi seperti "perjalanan tanpa had" hanya dengan bayaran S$3.
Mereka yang menekan pautan itu akan dibawa ke laman pancingan data yang mengandungi logo EZ-link atau SimplyGo dan mereka diarahkan supaya mengisi butiran kad kredit atau debit dan kata laluan sekali (OTP) untuk membeli kad EZ-Link tersebut.
Menurut polis, dalam sesetengah kes, para mangsa akan diarahkan supaya menyertai permainan online atau kuiz untuk melayakkan diri bagi promosi palsu itu.
Sebaik sahaja mereka memenangi 'kotak hadiah' berisi kad 'EZ-Link percuma', mereka disuruh mengisi butiran kad mereka untuk membuat bayaran S$3 bagi promosi perjalanan tanpa had itu.
"Mangsa hanya menyedari bahawa mereka ditipu setelah mendapati beberapa urus niaga tanpa izin dalam akaun bank mereka.
"Dalam sesetengah kes, urus niaga itu dilakukan dalam mata wang asing," menurut polis.
"Semua promosi kad EZ-Link hanya dilakukan menerusi laman SimplyGo dan laman media sosial SimplyGo dan EZ-Link," katanya, sambil menambah SimplyGo tidak menawarkan sebarang tawaran "perjalanan tanpa had pada harga S$3".
Mereka yang perlukan maklumat rasmi mengenai pembelian kad EZ-Link boleh melungsuri lelaman SimplyGo.
Pada Februari lalu, polis menyatakan sekurang-kurangnya S$1.1 bilion hangus angkara skim penipuan pada 2024.
Keseluruhan jumlah yang lebur akibat skim-skim penipuan meningkat sebanyak 70.6 peratus daripada sekurang-kurangnya S$651.8 juta pada 2023, menurut perangkaan tahunan polis mengenai skim penipuan dan jenayah siber.
Keseluruhan jumlah kes skim penipuan juga meningkat sebanyak 10.6 peratus kepada 51,501 kes pada 2024, daripada 46,563 pada 2023.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.