Skip to main content

Singapura

Awas! Jangan terpedaya skim penipuan baucar SG60, CDC di Telegram, Instagram

Polis memberi amaran pada Rabu (1 Okt) mengenai kemunculan semula skim-skim penipuan melibatkan saluran Telegram dan akaun Instagram palsu yang menguar-uarkan agihan bayaran pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Jangan terpedaya skim penipuan baucar SG60, CDC di Telegram, Instagram

Catatan Instagram dan mesej Telegram palsu mengenai agihan bayaran pemerintah. (Imej: SPF)

SINGAPURA: Polis memberi amaran pada Rabu (1 Okt) mengenai kemunculan semula skim-skim penipuan melibatkan saluran Telegram dan akaun Instagram palsu yang menguar-uarkan agihan bayaran pemerintah.

Menurut kenyataan media SPF, akaun-akaun palsu itu akan menghebahkan agihan bayaran pemerintah seperti baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan SG60.

Ia kemudian akan menyebabkan akaun Telegram mangsa dicerobohi, kata polis.

Polis menarik perhatian bahawa mangsa akan menerima mesej dari saluran Telegram yang berpura-pura sebagai saluran rasmi seperti "CDC Vouchers" dan akaun Instagram palsu seperti "govh.sg".

Mesej-mesej itu akan mengandungi infografik bagi menggalakkan orang ramai supaya menebus baucar SG60 atau CDC menerusi saluran-saluran itu.

Sebaik sahaja mangsa menekan pautan pada saluran itu, mereka akan diminta untuk mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor telefon, nama dan nombor kad pengenalan.

Mereka mungkin juga akan disuruh untuk memberikan kod Telegram, yang sebaliknya akan membolehkan para penipu untuk mengambil alih akaun Telegram mereka, menurut polis.

Para penipu kemudian akan menggunakan akaun Telegram mangsa untuk menyebarkan pautan pancingan data kepada kenalan mangsa atau memasukkan mangsa-mangsa lain dan kenalan mereka kepada kumpulan sembang yang menguar-uarkan skim pelaburan palsu.

Saluran rasmi "gov.sg" di Telegram dan Instagram hanya digunakan bagi tujuan maklumat, menurut polis.

Akaun-akaun tulen dan disahkan akan mempunyai tanda rait (tick) pengesahan berwarna biru di sebelah nama akaun, manakala akaun-akaun palsu tidak akan mempunyai tanda pengesahan itu.

Kementerian Kewangan (MOF) tidak mempunyai saluran siaran di Telegram dan tidak akan menghubungi orang awam menerusi platform itu, menurut polis.

Kementerian itu hanya menyebarkan maklumat menerusi saluran media sosial rasmi, menurut polis.

Pemberitahuan pada saluran media sosial rasmi itu tidak akan mengandungi sebarang pautan yang boleh ditekan, memerlukan balasan mesej SMS atau meminta orang awam supaya menyediakan kod pengesahan bagi mana-mana platform.

"Anda tidak akan menerima sebarang permohonan melalui panggilan telefon, media sosial atau emel untuk mendedahkan butiran peribadi atau butiran log masuk bank bagi menebus baucar SG60 atau CDC anda," kata polis.

Orang awam juga tidak akan diminta untuk memindahkan wang atau memuat turun aplikasi mudah alih dari kedai aplikasi bukan rasmi bagi menebus baucar atau menerima sebarang agihan wang tunai dari pemerintah.

Maklumat dan kemas kini rasmi mengenai skim SG60 dan CDC boleh didapatkan daripada laman masing-masing.

Polis menasihati orang ramai supaya mengambil langkah -langkah perlindungan seperti memuat turun aplikasi mudah alih ScamSchield dan memeriksa kesahihan mesej-mesej mencurigakan yang diterima melalui aplikasi ScamShield atau lamannya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita