Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Jangan terpedaya dengan tuntutan palsu kit ujian COVID-19 di wadah e-dagang

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa penggunaan kit ujian COVID-19 yang yang dipasarkan secara haram untuk kegunaan di rumah boleh menularkan penyakit tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Jangan terpedaya dengan tuntutan palsu kit ujian COVID-19 di wadah e-dagang

Kit ujian COVID-19 yang dipasarkan secara haram bagi kegunaan di rumah. (Gambar: HSA)

Diterbitkan : 06 May 2020 01:34PM Dikemas Kini : 06 May 2020 01:36PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa memberi amaran bahawa penggunaan kit ujian COVID-19 yang yang dipasarkan secara haram untuk kegunaan di rumah boleh menularkan penyakit tersebut.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sedang membanteras kit ujian dan produk kesihatan sedemikian yang membuat tuntutan palsu berkaitan virus korona.

Sejak Februari, lebih 1,600 surat amaran dikeluarkan terhadap penjual dan syarikat, menurut HSA dalam kenyataan medianya pada Rabu (6 Mei).

Agensi itu juga sudah menurunkan lebih 1,700 senarai produk. Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 40 adalah kit ujian COVID-19, yang ditawarkan untuk dijual melalui wadah e-dagang.

HSA memberi amarah kit ujian seumpama tu mempunyai "batasan reka bentuk dan teknologi" yang boleh menyebabkan hasil "tidak tepat atau mengelirukan".

"Pengguna harus sedar bahawa tidak ada kit ujian di rumah yang diluluskan oleh HSA; tiada suplemen kesihatan atau ubat herba dan tiada alat pengguna yang diluluskan untuk diagnosis atau rawatan COVID-19," kata Profesor Madya Chan Cheng Leng, pengarah kumpulan bagi kumpulan kawal selia produk kesihatan HSA.

"Pengguna tidak hanya membazirkan wang untuk ubat-ubatan yang belum terbukti ini, mereka juga boleh meletakkan diri mereka dan orang-orang di sekeliling mereka pada risiko yang tidak perlu kerana rasa keselamatan yang palsu."

TUNTUTAN PALSU

Kit ujian haram yang ditemui HSA di wadah e-dagang berharga antara S$10 hingga S$290. Penyenaraian sedemikian membuat tuntutan palsu seperti:

  • "keputusan positif boleh disaksikan dalam masa seawal 2 minit"
  • "ketepatan 95 peratus dan hasilnya dalam tempoh 10 minit"
  • “diagnosis COVID-19 dalam masa 10 minit”

Siasatan HSA mendapati tiada satu pun penjual yang mempunyai bekalan stok alat itu dan mereka hanya akan mengimportnya dari luar negara setelah menerima tempahan.

"TIADA BUKTI SAINTIFIK"

Produk kesihatan yang membuat tuntutan palsu untuk melawan atau mencegah COVID-19 turut menjadi sasaran HSA.

Sehingga kini, lebih 100 senarai online sudahpun dikesan dan diturunkan. Syarikat-syarikat termasuk kedai perubatan tradisional Cina (TCM), peruncit suplemen kesihatan dan syarikat pemasaran berbilang peringkat juga sudah diberi amaran.

Dalam satu contoh, HSA menyatakan sebuah klinik TCM menjual kantung wangian herbal yang dikatakan mempunyai ciri-ciri yang dapat mencegah jangkitan COVID-19.

HSA juga menarik perhatian kepada suplemen kesihatan seperti ginseng merah dan spirulina Hawaii dijual online yang dipromosikan sebagai "mujarab mencegah virus korona" - satu tuntutan yang menurut agensi itu kurang bukti saintifik.

Cecair pembasmi kuman tangan dan badan membuat tuntutan salah dan mengelirukan berkaitan COVID-19. (Gambar: HSA)

(Gambar: HSA)

Lebih 650 surat amaran juga dikeluarkan terhadap penjual dan syarikat cecair pembasmi kuman tangan dan badan. Penjual didapati mengiklankan tuntutan palsu seperti "melindungi daripada virus korona", "membunuh virus termasuk virus korona" dan "menghentikan virus korona".

Penjual yang secara palsu mengiklankan produk sebagai berupaya mencegah atau merawat COVID-19 akan dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan dan denda sehingga S$20,000.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan