Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! jangan beli atau guna 3 produk ini; 2 orang masuk hospital akibat kesan sampingan teruk

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tiga orang mengalami kesan sampingan selepas menggunakan produk-produk kesihatan yang berbahaya.

Dua daripada mereka dirawat di hospital, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Jumaat (28 Jun).

Orang awam dinasihatkan agar jangan membeli atau menggunakan krim pemutih ketiak 88 Total White Underarm Cream, Pil Sausando Cellulite dan Pelangsing Double Strong, tambah HSA.

Senarai bagi semua tiga produk itu dijumpai di platform-platform e-niaga seperti Shopee dan Lazada. Krim pemutih ketiak itu juga dijual di Carousell dan sebuah kedai di Lucky Plaza.

HSA sudah merampas semua bekalan krim tersebut daripada kedai di Lucky Plaza dan siasatan sedang dijalankan, menurut agensi itu.

Produk-produk yang terjejas sudah diturunkan daripada platform e-niaga dengan bantuan pentabirnya dan tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas penjual online.

KESAN TERUK PADA KULIT

Seorang wanita dalam lingkungan usia 30an tahun dimasukkan ke hospital selepas menggunakan krim pemutih ketiak 88 Total White Underarm Cream selama sebulan, menurut HSA.

Wanita itu mengalami ruam pada sebahagian besar tubuhnya, selain kerosakan hati dan sakit kuning akibat menggunakan krim yang dibeli daripada kedai di Lucky Plaza itu.

"Produk itu dikatakan boleh memutihkan dan melembutkan kulit serta mengurangkan bau badan," menurut HSA.

Sekalipun demikian, HSA mendapati produk tersebut mengandungi kadar tinggi merkuri dan lagi dua bahan perubatan yang kuat - betamethasone, iaitu steroid kuat serta asid salisilik.

Merkuri merupakan bahan bertoksin dan tidak dibenarkan digunakan dalam produk-produk kosmetik, menurut HSA, sambil menambah ia boleh menyebabkan ruam dan rengsa kulit.

Jika diserap kulit, ia boleh menyebabkan rasa kebas, pening dan sakit kepala. Pendedahan jangka panjang pula "boleh membawa risiko serius kesihatan".

Disebabkan pendedahan kepada merkuri, wanita itu didiagnosis dengan tindak balas tubuh yang terlalu sensitif, menerusi ruam kulit, kejanggalan dalam darah serta kecederaan pada hati, yang boleh membahayakan nyawa.

Betamethasone adalah steroid kuat yang hanya boleh digunakan di bawah pemantauan perubatan memandangkan penggunaan yang salah boleh menyebabkan kesan sampingan serius.

Asid salisilik digunakan untuk merawat masalah biasa kulit seperti jerawat dan kelemumur tetapi boleh menyebabkan kulit kering, rengsa dan ruam, jika digunakan dalam jumlah yang tinggi.

Mereka yang sudah menggunakan krim pemutih ketiak 88 Total White Underarm Cream dinasihatkan supaya segera berjumpa doktor.

Masalah kulit yang sedia ada seperti ekzema boleh memburuk dan menimbulkan pelbagai gejala serius lain seperti keletihan, kebingungan dan tekanan darah rendah jika penggunaan produk yang mengandungi steroid dihentikan mendadak tanpa pemantauan perubatan, menurut HSA.
(Gambar: HSA)
BAHAN TERLARANG

Kedua-dua pil Sausando Cellulite dan Pelangsing Double Strong didapati mengandungi sibutramin, ubat mengurangkan berat badan yang hanya boleh diberikan oleh doktor. Ia diharamkan di Singapura.

Bahan itu sudah diharamkan di Singapura sejak 2010 disebabkan risiko tinggi serangan jantung dan angin ahmar. Kesan sampingan lain termasuk sawan, psikosis dan halusinasi.

Seorang lelaki dalam usia 50an dimasukkan ke hospital selepas mengalami sawan, sodium rendah dalam darah dan muntah-muntah. Dia mengambil pil Sausando Cellulite selama lima bulan. Seorang wanita pula melaporkan mengalami insomnia dan jantung berdebar selepas mengambil produk tersebut.

Pil-pil tersebut diiklankan online sebagai ubat pelangsing badan dengan dakwaan seperti "kurus secepat tujuh hari". Ia juga dipasarkan sebagai "makanan kesihatan semula jadi", menurut HSA.

Pil Sausando Cellulite itu juga mengandungi fenolftalein, iaitu julap "lapuk" yang sudah tidak berdaftar di Singapura sejak 2011. Fenolftalein mungkin menyebabkan isu-isu seperti gangguan pada buah pinggang, ruam, kejang perut dan sukar bernafas.

HSA dimaklumkan tentang penjualan online pil Pelansing Double Strong oleh orang awam. Produk itu mendakwa boleh membantu "menurunkan berat badan dan untuk mengekalkan berat badan ideal".

Ujian yang dijalankan oleh HSA mendapati pil itu juga mengandungi sibutramin dan bahan kimia lain yang serupa.

Orang ramai dinasihatkan agar segera berhenti mengambil pil Sausando Cellulite dan Pelangsing Double Strong dan berjumpa doktor jika tidak sihat.

"Tiada jalan pintas untuk menurunkan berat badan," menurut HSA.

"Berwaspada terhadap produk-produk yang membuat dakwaan melampau seperti 'turun berat badan dalam tujuh hari' selain mendakwa ia mengandungi bahan 'semula jadi'. Ia mungkin mengandungi bahan perubatan kuat yang boleh membahayakan kesihatan anda."

HSA mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila membeli daripada sumber-sumber yang tidak diketahui, walaupun daripada rakan-rakan dan keluarga. Sebaliknya, mereka harus membeli produk-produk kesihatan daripada farmasi atau laman yang boleh dipercayai selain kedai-kedai yang sudah dipastikan kewujudkannya di Singapura.

"HSA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sesiapa yang menjual dan membekalkan produk-produk yang didapati mengandungi bahan-bahan terlarang, bahan-bahan kuat atau bertoksin melebihi had yang dibolehkan," tegas agensi itu.

Jika sabit kesalahan, penjual dan pembekal boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$50,000 atau kedua-duanya sekali.
 
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan