Skip to main content

Singapura

Awas! Jangan ambil produk kawal berat badan dan ekzema dengan bahan terlarang ini

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Mar 2025 08:09PM Dikemas Kini : 25 Mar 2025 09:12PM
SINGAPURA: Empat produk kesihatan tercemar telah dikenal pasti oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) selepas didapati mengandungi bahan-bahan termasuk steroid dan sibutramine, iaitu sejenis bahan terlarang.

HSA pada Selasa (25 Mac) menggesa orang ramai supaya jangan membeli atau menggunakan produk-produk berikut:
  • 通脉9骨胶柔 Tong Mai 9 Gu Jiao Rou
  • EZ Empire Be Perfect
  • Re5hape hi Morning
  • Re5hape bye Night

Seorang lelaki dimasukkan ke hospital bagi pembedahan kecemasan pada bahagian perutnya selepas mengambil Tong Mai 9 Gu Jiao Rou, manakala seorang lagi wanita mengalami kesan buruk berkaitan steroid selepas mengambil EZ Empire Be Perfect. Pengguna ketiga mengalami sakit dada selepas mengambil Re5hape hi Morning dan Re5hape bye Night.

PEMBEDAHAN KECEMASAN

Seorang lelaki berusia 50-an tahun mengambil Tong Mai 9 Gu Jiao Rou selepas membelinya daripada seorang penjaja di kedai kopi Ang Mo Kio untuk merawat ekzemanya. Penjaja itu juga menjual produk tersebut kepada pengguna lain untuk masalah sendi, kata HSA.

Selepas mengambil produk itu setiap hari selama kira-kira dua tahun, dia mengalami ulser gastrik berlubang, yang memerlukan pembedahan kecemasan.

Lelaki itu juga mengalami simptom Sindrom Cushing, termasuk muka bentuk bulat atau "muka bulan", penipisan kulit, dan kulit mudah lebam, menyebabkan doktornya mengesyaki bahawa produk itu tercemar.

HSA mendapati bahawa produk tersebut mengandungi dua bahan terlarang, termasuk dexamethasone (anti-radang) dan piroxicam (ubat penahan sakit).

Pihak berkuasa juga mendapati bahawa produk itu mempunyai rupa yang serupa dengan produk lain, Joint-Soft, yang dimaklumkan kepada orang ramai pada 2014.

“Joint-Soft mengandungi ramuan yang sama dan menyebabkan seorang pengguna berusia 60-an tahun dimasukkan ke hospital kerana mengalami pendarahan dalaman,” kata HSA.

SINDROM CUSHING, SAKIT DADA

Dua wanita mengalami kesan buruk selepas mengambil produk kesihatan bagi pengurusan berat badan.

Seorang wanita berusia 30-an tahun membeli EZ Empire Be Perfect di platform online Shopee untuk membantu menambah berat badannya, dan mengambil produk itu setiap hari selama kira-kira 10 bulan.

"Produk itu dipasarkan untuk 'menggalakkan penambahan berat badan yang sihat' dengan bahan semula jadi seperti ekstrak buah-buahan dan vitamin," menurut HSA.

Walaupun wanita itu mengalami selera makan yang meningkat dan menambah lebih 10kg selepas mengambil produk itu, dia juga mengalami ruam muka dan keletihan secara tiba-tiba sebaik berhenti mengambilnya selama tiga hari.

Doktornya mengesyaki bahawa simptomnya disebabkan oleh Sindrom Cushing dan kesan sampingan steroid, dan melaporkan kes itu kepada HSA.

HSA mendapati produk tersebut didapati mengandungi dua bahan yang kuat - cyproheptadine (antihistamin) dan dexamethasone.

Seorang lagi wanita membeli Re5hape hi Morning dan Re5hape bye Night daripada seorang penjual di Instagram, dengan kedua-dua produk dipromosikan untuk diambil bersama sebagai sebahagian daripada "program kesihatan" untuk mengurangkan berat badan.

Produk itu juga dilabelkan mengandungi ekstrak dan vitamin makanan "semula jadi".

HSA bagaimanapun mendapati Re5hape hi Morning mengandungi sibutramine, bahan terlarang, manakala Re5hape bye Night mengandungi sennosides, iaitu sejenis julap.

"Produk itu juga dilabel secara palsu dengan logo GMP, yang mungkin mengelirukan pengguna untuk mempercayai bahawa produk itu selamat dan dikilangkan di bawah piawaian berkualiti tinggi yang diiktiraf oleh Amalan Pengilangan Baik (GMP)," kata HSA.

Pihak berkuasa menambah bahawa kedua-dua produk juga didapati dijual di Carousell dan Shopee, dan telah bekerjasama dengan pentadbir platform tersebut untuk menggugurkan produk tersebut.

Semakan oleh Mediacorp pada petang Selasa menunjukkan bahawa produk-produk itu telah digugurkan daripada kedua-dua platform.

HSA memberi amaran bahawa semua penjual dan pembekal empat produk itu mesti berhenti menjualnya dengan serta-merta.

"HSA akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap penjual yang terus menjual atau membekalkan produk yang didapati dicemari dengan bahan terlarang atau bahan yang tidak diluluskan," katanya.

"HSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sesiapa sahaja yang menjual dan membekalkan produk yang didapati dicemari dengan bahan-bahan sedemikian," kata pihak berkuasa.

Jika sabit kesalahan, penjual dan pembekal boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita