Skip to main content

Singapura

Awas! Ini kaedah baharu tipu & menyamar di Telegram; jangan jadi mangsa

Anggaran Waktu Membaca:
 Awas! Ini kaedah baharu tipu & menyamar di Telegram; jangan jadi mangsa

Awas! Ini kaedah baharu tipu & menyamar di Telegram; jangan jadi mangsa. (Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 31 Aug 2023 09:49PM Dikemas Kini : 31 Aug 2023 10:18PM
SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura hari ini (31 Ogos) memberi amaran kepada orang awam mengenai satu jenis penipuan baharu membabitkan penyamaran di media sosial melibatkan aplikasi Telegram.

Sekurang-kurangnya 50 orang menjadi mangsa penipuan sedemikian sejak Januari, dengan kerugian berjumlah sekurang-kurangnya S$18,000, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dalam satu kenyataan media bersama.

Jenis penipuan ini melibatkan penipu mengawal akaun Telegram mangsa.

Mereka melakukannya dengan memperdaya mangsa supaya menyerahkan nombor telefon dan kod log masuk yang dijana oleh Telegram.

APA YANG BERLAKU?

Penipuan itu boleh berlaku dalam beberapa bentuk, menggunakan akaun kenalan mangsa, yang sudah terjejas.

Mangsa boleh disertakan dalam ruang sembang sulit Telegram oleh si penipu yang menyamar sebagai seorang rakan atau kenalan. Mangsa kemudian diminta memberikan petikan gambar sejarah sembang Telegram mereka.

"Tanpa diketahui mangsa, petikan gambar itu akan mendedahkan kod log masuk yang dijana Telegram kerana penipu akan secara serentak menjana kod log masuk Telegram bagi akaun Telegram mangsa," menurut pihak berkuasa.

Mangsa mungkin juga diminta membantu mencari seseorang di Telegram dengan mencari nama pengguna tertentu dalam sejarah sembang mereka dan memberikan petikan gambar hasil carian tersebut. Petikan gambar itu kemudian akan mengandungi kod log masuk Telegram.
Related article image
Mangsa mungkin diminta penipu supaya membantu mencari seseorang di Telegram. (Gambar: SPF, CSA)
Satu lagi cara melibatkan penipu meminta mangsa supaya membantu mengesahkan atau melepaskan sekatan akaun Telegram seseorang kenalan. Untuk melakukan demikian, mangsa perlu membuat permohonan kepada satu akaun Telegram yang menyamar sebagai bot khidmat pelanggan.

Bot itu kemudian sama ada akan meminta butiran mangsa dan kod log masuk Telegram mereka atau memberikan pautan URL yang menyamar sebagai butang pengesahan untuk membolehkan "kenalan" mereka log masuk ke akaun Telegram mangsa.

Mangsa juga mungkin diminta membantu mendaftarkan keanggotaan percuma Telegram.

Penipu akan memperdaya mereka supaya melakukan demikian dengan menekan pautan yang membolehkan penipu mengakses akaun mangsa. Mangsa kemudian akan kehilangan akses kepada akaun Telegram mereka.
Related article image
Penipu mungkin minta mangsa buat pengesahan atau lepaskan sekatan bagi satu akaun yang disekat Telegram. (Gambar: SPF, CSA)
Sebaik sahaja penipu mendapat akses kepada akaun Telegram itu, mereka akan menyasarkan kenalan mangsa. Helah ini akan diulangi untuk mengambil alih akaun Telegram mangsa atau meminta wang untuk mengekalkan penipuan tersebut.

"Mangsa hanya akan menyedari mereka sudah ditipu setelah mereka menyedari akaun Telegram mereka tidak lagi boleh diakses atau apabila pinjaman tidak dipulangkan," menurut pihak berkuasa.

Dalam beberapa kes, penipu akan mendapat akses kepada maklumat, seperti gambar-gambar dan video-video daripada ruang sembang Telegram mangsa. Penipu akan menggunakan maklumat tersebut untuk memeras ugut bagi mendapatkan wang daripada mangsa dan kenalan mereka.

Pihak berkuasa menasihatkan orang awam agar mengambil langkah-langkah berikut untuk mengelak daripada menjadi mangsa:
  • Pasang aplikasi ScamShield dan aktifkan ciri-ciri keselamatan seperti pengesahan dua faktor atau berbilang faktor bagi akaun bank, media sosial dan Singpass.
  • Mereka juga harus meletakkan had pada urus niaga perbankan internet termasuk PayNow.
  • Sebarang urus niaga palsu harus dilaporkan dengan segera kepada bank. Sekat dan lapor tentang pengirimnya kepada Telegram. Jika akaun itu terjejas, laporkan kepada bahagian sokongan Telegram dan maklumkan kepada anggota keluarga serta rakan-rakan supaya mereka tidak menjadi mangsa.
  • Mereka juga dinasihatkan agar melaporkan insiden pengambilalihan akaun Telegram kepada SingCERT menerusi borang laporan insiden online.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita