Awas! Buaya dikesan di perairan Sentosa; kegiatan air digantung
Seekor buaya dikesan di perairan berhampiran Sentosa Cove pada petang Rabu (6 Mei), sekali gus menyebabkan aktiviti-aktiviti air di Pantai Siloso, Palawan dan Tanjong digantung sehingga diberitahu kelak.
Petikan skrin daripada sebuah video yang menunjukkan seekor buaya yang dilihat di perairan Sentosa pada 6 Mei 2026. (Gambar: X/SG FULL Mika)
Selepas dimaklumkan berhubung penampakan itu, Lembaga Taman Negara (NParks) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) mengerahkan pasukan pencarian bersama. Operasi masih lagi dijalankan.
“Melalui rundingan bersama NParks, sebagai langkah berjaga-jaga, aktiviti-aktiviti air seperti berenang dan berkayak tidak dibenarkan di Pantai Siloso, Palawan dan Tanjong sehingga diberitahu kelak,” kata SDC dalam catatannya di Facebook.
Pantai-pantai tersebut kekal dibuka, dengan rondaan serta pemantauan di kawasan pesisir pulau itu dipertingkatkan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi sepenuhnya papan tanda keselamatan dan arahan di lokasi,” kata SDC, sambil menambah bahawa keselamatan dan kesejahteraan para pengunjung menjadi keutamaan.
Ini merupakan penampakan buaya kedua yang dilaporkan di perairan sekitar Sentosa tahun ini, selepas penampakan pertama pada akhir Januari.
Kegiatan air turut digantung menyusuli penampakan tersebut di Sentosa Cove, sebelum dibenarkan semula lebih seminggu kemudian.
Satu lagi penampakan buaya dilaporkan di Keppel Bay minggu lalu, yang mendorong NParks untuk meletakkan beberapa papan tanda amaran di kawasan tersebut bagi menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila berada di pesisir.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya bertenang dan berundur secara perlahan-lahan sekiranya ternampak buaya, dan agar tidak mendekati, mengganggu atau memberi makan kepada haiwan tersebut.
Orang ramai juga boleh menghubungi NParks di talian 1800-476-1600 untuk melaporkan sebarang penampakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.