Skip to main content

Singapura

Awas! aplikasi ScamShield palsu diguna dalam penipuan pancing data

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! aplikasi ScamShield palsu diguna dalam penipuan pancing data

(Gambar: Pasukan Polis Singapura)

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (16 Mei) memberi amaran tentang satu penipuan pemancingan data yang melibatkan aplikasi palsu ScamShield.

Aplikasi ScamShield, yang dilancarkan bagi iOS pada 2020 dan Android pada 2022, memeriksa panggilan masuk mengikut satu senarai yang dikendalikan polis untuk mengetahui sama ada nombor tersebut digunakan bagi tujuan tidak sah dan kemudian menyekatnya.

Dalam satu kenyataan media, polis menasihatkan orang awam supaya tidak memuat turun sebarang aplikasi mencurigakan ke dalam peranti mereka kerana ia mungkin mengandungi perisian hasad yang memancing data, yang membolehkan para penipu mengawal peranti mangsa.

Penipuan tersebut melibatkan iklan yang memasarkan tentang penjualan makanan menerusi platform mesej di media sosial seperti Facebook dalam peranti mudah alih Android.

"Para mangsa kemudian akan menghubungi penipu menerusi WhatsApp dan penipu akan menghantar pelokasi sumber seragam (URL) kepada mangsa," menurut polis.

"Penipu akan memaklumkan kepada mangsa supaya memuat turun aplikasi daripada URL itu untuk membeli makanan dan membuat bayaran."

Urus niaga tidak sah kemudian akan dibuat daripada akaun bank atau kad kredit mangsa.

Sejurus selepas itu, penipu akan menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai kakitangan bank yang membuat pemeriksaan susulan mengenai urus niaga palsu tersebut.

"Penipu kemudian menyarankan kepada mangsa supaya memuat turun aplikasi ScamShield menggunakan satu pautan URL, yang menggunakan logo palsu ScamShield, atas alasan memastikan mangsa melindungi diri mereka daripada penipuan dan membuat aduan menerusi aplikasi ScamShield itu," tambah polis.

"Penipu akan menekankan bahawa pautan URL yang diberikan itu sah dan memaklumkan kepada mangsa supaya jangan memuat turun aplikasi ScamShield daripada Google Play Store rasmi."

Polis juga mengingatkan kepada orang awam mengenai bahaya memuat turun aplikasi daripada pihak ketiga atau laman mencurigakan yang boleh membawa kepada perisian hasad dipasang pada telefon mudah alih, komputer dan peranti lain mangsa.

"Penipu akan menipu supaya mangsa memasang aplikasi yang mengandungi perisian hasad, yang dari luar app store."

Orang awam boleh merujuk kepada panduan rasmi ScamShield untuk mengetahui lebih banyak lagi mengenai muat turun aplikasi tersebut.
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita