Awas! Akaun WhatsApp anda mungkin digodam
Polis menerima beberapa aduan mengenai akaun WhatsApp yang digodam oleh para penipu, menurut kenyataan media Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (18 Apr).
SINGAPURA: Polis menerima beberapa aduan mengenai akaun WhatsApp yang digodam oleh para penipu, menurut kenyataan media Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (18 Apr).
Para mangsa pada mulanya akan menerima mesej WhatsApp daripada salah seorang kenalan yang akaunnya mungkin terjejas oleh penggodaman tersebut.
Mesej yang diterima akan meminta mangsa supaya menyerahkan kod pengesahan akaun WhatsApp yang diperolehi melalui SMS.
"Mangsa kemudian akan hilang akses kepada akaun WhatsApp sebaik saja kod pengesahan WhatsApp itu dikirim kepada para penipu," menurut polis.
SPF selanjutnya menyatakan bahawa penipuan sedemikian dilaporkan di luar negara di mana para penipu menggunakan akaun-akaun yang terjejas untuk memperdayakan kenalan mangsa supaya membeli kad hadiah dan mengirimkan kata laluan bagi kad hadiah itu.
Para penipu kemudian akan menjual kad hadiah berkenaan secara online.
Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati terhadap permintaan mencurigakan yang diterima melalui WhatsApp, meskipun dikirim oleh kenalan WhatsApp mereka sendiri.
Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang penipuan seumpama itu boleh menghubungi polis di talian 1800-255-0000 atau 999 bagi bantuan kecemasan.
Untuk mendapatkan nasihat bagi mencegah penipuan, orang ramai boleh menghubungi Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan di 1800-722-6688 atau lungsuri laman www.scamalert.sg.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.