Skip to main content

Singapura

Awas! 144 mangsa hangus S$190,000; terjerat tipu helah hartanah palsu

Penipuan melibatkan penyenaraian hartanah palsu kian berleluasa di Singapura dengan sekurang-kurangnya S$190,000 lesap daripada 144 mangsa sejak Januari tahun ini, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Isnin (21 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! 144 mangsa hangus S$190,000; terjerat tipu helah hartanah palsu

Gambar pas ejen hartanah yang palsu, dihantar oleh seorang penipu. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 21 Mar 2022 04:13PM

SINGAPURA: Penipuan melibatkan penyenaraian hartanah palsu kian berleluasa di Singapura dengan sekurang-kurangnya S$190,000 lesap daripada 144 mangsa sejak Januari tahun ini, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Isnin (21 Mac).

Bagi jenis penipuan ini, penipu memuat naik penyenaraian hartanah palsu ke laman web dan menghubungi mangsa melalui WhatsApp, menyamar sebagai ejen hartanah.

Penipu kemudian meminta mangsa membuat bayaran pendahuluan bagi menjamin slot janji temu untuk meninjau-ninjau hartanah tersebut.

“Dalam kes-kes sebegini, mangsa biasanya dibawa ke sebuah ruang sembang WhatsApp daripada nombor tidak dikenali, yang bermula dengan '+65', selepas menekan pautan dalam sesuatu iklan," menurut polis dalam kenyataan medianya.

"Dengan menggunakan nombor palsu untuk berurusan dengan mangsa, penipu akan menggunakan gambar, nama dan nombor lesen ejen hartanah yang sah - yang boleh didapatkan di laman web sewa - untuk memperdaya mangsa supaya percaya bahawa mereka adalah ejen hartanah yang sah."

Mangsa kemudian diberitahu bayaran pendahuluan itu tidak boleh dibayar balik. Mangsa juga diberikan nombor akaun bank serta nombor telefon untuk membuat pindahan wang cengkeram itu.

“Mangsa hanya menyedari mereka sudah diperdaya selepas penipu berhenti menghubungi mereka," menurut polis.

Polis menyatakan pembayaran tidak seharusnya dibuat sebelum temu janji bagi meninjau rumah kerana ejen hartanah tidak dibenarkan untuk mengendalikan urus niaga wang tunai.

Polis juga menasihatkan anggota masyarakat supaya berhati-hati ketika berurusan dengan nombor yang bermula dengan +65 - terutama sekali di WhatsApp - serta juga penyenaraian hartanah di "wadah-wadah alternatif".

“Sahkan kesahihan sesuatu penyenaraian dengan memastikan nombor telefon sepadan dengan yang tertera di laman web Majlis bagi Agensi-Agensi Hartanah di mana butiran mengenai agensi-agensi disenaraikan," tambahnya.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita