Skip to main content

Singapura

Awan ribut petir lebih tinggi, tiupan angin kencang punca hujan batu

Awan ribut petir yang tinggi di udara dan diburukkan lagi dengan tiupan angin kencang menjadi punca utama yang menyebabkan berlakunya hujan batu yang berlaku di bahagian utara Singapura pada Selasa (30 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Awan ribut petir lebih tinggi, tiupan angin kencang punca hujan batu

Petikan dari video yang menunjukkan ketulan air batu. (Gambar: Michael Wong/ Facebook)

Diterbitkan : 31 Jan 2018 11:00PM Dikemas Kini : 31 Jan 2018 11:34PM

SINGAPURA: Awan ribut petir yang tinggi di udara dan diburukkan lagi dengan tiupan angin kencang menjadi punca utama yang menyebabkan berlakunya hujan batu yang berlaku di bahagian utara Singapura pada Selasa (30 Jan).

Demikian menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS).

Menjawab pertanyaan Mediacorp menerusi kiriman emel hari ini (31 Jan), MSS menyatakan, awan ribut petir yang terbentuk di bahagian utara Singapura mencecah ketinggian 14 kilometer.

Lazimnya, awan ribut petir hanya mencecah ketinggian 10 hingga 12 kilometer.

"Awan ribut petir yang tinggi di udara terbentuk apabila terdapat pemanasan kuat pada siang hari berserta gabungan angin," tambah MSS.

"Awan-awan ini mewujudkan aliran udara yang bertiup ke arah bawah menyebabkan sebahagian hujan batu sampai ke bumi sebelum ia cair."

Hujan batu terbentuk dalam kalangan awan ribut petir apabila titisan hujan membeku pada paras yang tinggi.

Saiznya kemudian membesar sedang ia ditiup angin kencang baik ke arah atas mahupun bawah - atau pengaliran angin lintang yang kuat - semasa berada di sekitar awan.

Di negara-negara bercuaca panas dan tropika seperti Singapura, hujan batu terbentuk di lapisan atmosfera paling atas dan biasanya cair sebelum sampai ke bumi, menurut MSS.

Sekalipun begitu, hujan yang turun semalam (30 Jan), adalah yang paling lebat, dengan jumlah titisan hujan paling tinggi yang pernah dicatatkan dalam tempoh 30 minit, iaitu 46.6 milimeter dari pukul 4.55 petang hingga 5.25 petang.

Angin paling kencang pula dicatatkan pada 70.9 kilometer sejam di Sembawang sekitar pukul 5.00 petang, tambah MSS.

"Hujan batu dilaporkan berlaku di Singapura setiap beberapa tahun secara purata," menurut MSS, dengan kali terakhir dilaporkan berlaku pada bulan Oktober 2014 dan Jun 2013.

"Kesan perubahan iklim ke atas kekerapan berlakunya hujan batu di negara-negara tropika perlukan lebih banyak kajian," tambah MSS. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita