Skip to main content

Singapura

AVS siasat kes dipercayai penganiayaan haiwan selepas anjing alami radang kulit akibat pakai e-kolar

Anggaran Waktu Membaca:
AVS siasat kes dipercayai penganiayaan haiwan selepas anjing alami radang kulit akibat pakai e-kolar

(Gambar: Chained Dog Awareness in Singapore/Facebook)

SINGAPURA: Seorang pelatih haiwan peliharaan dituduh menggunakan kaedah dan peralatan yang dipercayai menyebabkan seekor anjing berusia 1 tahun menghidapi reaksi teruk pada kulit.

Menurut pelatih itu, anjing berkenaan disyaki mempunyai alahan kepada bahan nikel pada kolar yang dipakainya semasa latihan, atas cadangan pelatih tersebut.

Pelatih tersebut, yang identitinya tidak diketahui, berkata dalam satu kenyataan di akaun Instagram - 'The Royal Tail' - bahawa dia menyarankan agar menggunakan prong dan kolar elektronik pada anjing itu kerana ia sukar dikawal. Ini disebabkan "keghairahan (anjing itu) dan saiznya yang besar", dalam kira-kira 30 kilogram. Malah, anjing itu terlalu kuat untuk dikawal oleh pemiliknya.

Gambar-gambar yang dimuat naik ke sosial media menunjukkan kulit anjing tersebut kelihatan radang dan kemerah-merahan di sekitar bahagian lehernya. Warga net rata-rata menyuarakan kemarahan terhadap apa yang mereka lihat sebagai suatu kekejaman haiwan.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp pada Khamis (5 Jan) berhubung hal itu, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) - di bawah naungan Lembaga Taman Negara (NParks) - menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang sebuah kes yang dipercayai berkaitan dengan penganiayaan anjing. AVS menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.

Dalam kes terbaru itu, nama pelatih serta alamat tempat latihan itu tidak ditemui di akaun Instagram 'The Royal Tail'.

Mediacorp sudahpun menghubungi pelatih tersebut pada Rabu (4 Jan) tetapi tidak berbalas.

Dalam kenyataannya pada Khamis (5 Jan), AVS sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa ia tidak akan membenarkan tindakan penganiayaan seumpama itu terhadap haiwan masyarakat.

Pihaknya akan mengambil langkah penguatkuasaan yang perlu dan sewajarnya terhadap sesiapa saja yang tidak menyediakan jagaan yang memadai untuk haiwan peliharaan mereka atau sudah melakukan tindakan kejam terhadap haiwan.

Mereka yang didapati gagal dalam menjalankan tanggungjawab untuk menjaga haiwan peliharaan mereka, termasuk mengabaikan haiwan peliharaan atau melakukan tindakan kejam terhadap haiwan, boleh didakwa di bawah Akta Haiwan dan Burung.

Pesalah kali pertama yang melakukan kesalahan berkaitan kekejaman haiwan boleh didenda sehingga S$15,000 atau dipenjara sehingga 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

Orang awam boleh melaporkan mana-mana kes yang disyaki perbuatan kejam terhadap haiwan menerusi laman www.avs.gov.sg/feedback atau menghubungi Pusat Respons Haiwan di talian 1800-476-1600.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita