Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AVS siasat aduan naik anak kuda di Bazar Raya Geylang Serai

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Di tengah-tengah keghairahan Bazar Raya Geylang Serai Ramadan ini, daya tarikan menunggang anak kuda khususnya tular di media sosial. 

Kini, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) menyatakan, ia telah menerima aduan mengenai penggunaan anak kuda dan sedang memeriksa isu tersebut. 

Pengendali kegiatan  menunggang kuda itu, Gallop Stable, memberitahu Mediacorp bahawa anak kuda "gemar berinteraksi dengan manusia" dan ia mematuhi peraturan tegas yang ditetapkan pihak berkuasa bagi acara tersebut. 

AVS yang merupakan sebahagian Lembaga Taman Negara, bagaimanapun tidak memberikan butiran  maklum balas yang diterima berhubung kegiatan menunggang anak kuda itu mahupun individu yang membuat   aduan tersebut. Namun, semasa menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa (28 Mac), ia menyatakan pengendali acara harus memastikan ia mematuhi syarat-syarat pelesenan. 

Ini termasuk memastikan haiwan-haiwan itu diberikan waktu rehat mencukupi dan menamatkan operasi pada pukul 10.00 malam seperti yang dipersetujui, kata Pengarah Kumpulan AVS Jessica Kwok. 

Kesihatan dan kebajikan haiwan harus dijaga dan ia tidak harus rasa tertekan, tambah Cik Kwok. 

"AVS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya syarat pelesenan dilanggar," ujarnya. 

Tambah beliau lagi, AVS akan terus memantau acara pameran haiwan itu dan melakukan pemeriksaan bagi memastikan ia mematuhi syarat-syarat yang digariskan sehingga tamat acara itu pada 21 April. 

Pengasas Gallop Stable, Jackuda, berkata syarikat itu sudah menunjukkan kepada pihak berkuasa masa waktu rehat yang diberikan kepada anak kuda, bagaimana ia diletakkan jauh daripada gangguan dan bagaimana ia dibawa ke tempat bazar. 

"Kegiatan ini bukan semata-mata perniagaan bagi kami," kata Jackuda kepada Mediacorp pada Ahad (26 Mac). 

"Ini adalah sumbangan kami. Ini bulan Ramadan dan kami ingin menyumbang kepada orang ramai yang tidak mampu (mendekati anak kuda)," tambahnya.

Mediacorp turut mendapatkan komen daripada Cik Anbarasi Boopal, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bersama Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (ACRES), mengenai bagaimana AVS boleh mengawal selia dengan lebih baik lagi acara hiburan yang melibatkan haiwan. 

"Kami berharap, menggunakan haiwan semata-mata untuk hiburan tidak digalakkan dalam acara. Kami juga berharap, pihak penganjur boleh mencari kaedah lain untuk mendidik selain memberi inspirasi kepada belia tentang cara membantu haiwan atau alam sekitar," kata Cik Anbarasi. 

Beliau berkata, Acres merancang untuk menghantar surat bersama dengan pertubuhan-pertubuhan kebajikan haiwan lain kepada AVS dan pihak penganjur untuk mengongsi keprihatinan mereka. 

Surat itu akan menekankan bahawa interaksi haiwan dengan orang awam "harus dibataskan pada tempat di mana haiwan biasanya berehat dan tidak dibawa ke persekitaran bazar yang bising, terang, panas dan sesak". 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan