Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AVS saran benarkan sehingga 2 kucing dipelihara di HDB

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Dec 2023 08:17PM Dikemas Kini : 03 Dec 2023 12:20AM
SINGAPURA: Pemeliharaan sehingga dua ekor kucing di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan dibenarkan di bawah satu rangka kerja pengurusan kucing yang dicadangkan.

Ini sekaligus membatalkan larangan yang dikuatkuasakan sejak 30 tahun lalu ke atas pemeliharaan kucing di flat HDB.

Pihak berkuasa akan mendapatkan lebih banyak maklum balas daripada orang ramai mengenai rangka kerja tersebut.

Ia dijangka dilaksanakan akhir tahun depan.

Larangan terhadap kucing sebagai haiwan peliharaan di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah dilaksanakan sejak 1989.

Kucing-kucing tidak dibenarkan kerana 'ia secara amnya sukar untuk dibendung di dalam flat'.

Peraturan itu akan ditarik balik di bawah satu rangka kerja pengurusan kucing yang disarankan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS).

Hasil daripada satu rundingan awam yang dijalankan tahun lalu, lebih 24,000 responden bersetuju bahawa kucing-kucing peliharaan perlu ada cip mikro dan para pemilik perlu mendapatkan lesen.

"Kita sudahpun mempunyai skim sedemikian untuk anjing-anjing peliharaan dan kami berharap untuk meluaskannya kepada kucing-kucing peliharaan juga untuk mempertingkatkan pengesanan.

"Ini akan membolehkan kami untuk memberi respons kepada wabak penyakit haiwan dengan lebih efektif, dan menjaga kesihatan awam dengan lebih baik. Kami juga boleh mengambil tindakan bagi para pemilik yang tidak bertanggungjawab sekiranya mereka didapati membuang, mengabaikan atau mendera kucing-kucing mereka," kata Menteri Negara Kanan, Pembangunan Negara, Tan Kiat How.

Sehingga dua ekor kucing akan dibenarkan dalam flat HDB, manakala sehingga tiga ekor kucing dan anjing akan dibenarkan dalam kediaman privet.

Semua kucing peliharaan mesti mendapatkan lesen dan dimasukkan dengan cip mikro.

Untuk membantu para pemilik, tempoh peralihan dua tahun akan diberikan untuk kucing-kucing mereka mendapatkan cip mikro dan lesen secara percuma.

"Mendapatkan cip mikro dengan lesen ini boleh menolong sekiranya kalau kucing itu terlepas.Kadang-kadang ada waktu-waktu kita bawa kucing kita pergi klinik haiwan dan mungkin kadang-kadang terlepas daripada sangkar. Jadi daripada situ kalau dengan cip mikro kan kita boleh kesan semula," pemilik kucing, Nur Faezah Mat Aris.

Semua pemohon lesen kucing atau anjing kali pertama juga mesti menjalani kursus pemilikan haiwan peliharaan dalam talian percuma sekali, sebelum diberikan lesen.

Kursus itu merangkumi kemahiran asas penjagaan haiwan peliharaan dan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab.

Mereka mempunyai dua tahun untuk memenuhi syarat pelesenan.

Selain kucing peliharaan, program 'Perangkap-Kembiri-Cari Rumah Baru/Lepaskan Secara Terurus (TNRM) kepada kucing masyarakat juga dilanjutkan.

Kucing seperti itu akan dikembiri selepas ditangkap, dan kemudian ditempatkan semula di rumah baharu atau dilepaskan semula ke dalam masyarakat.

Hasil daripada sebuah program rintis yang dijalankan baru-baru ini juga, AVS akan membantu para pemilik kucing yang berpendapatan rendah untuk mengembirikan kucing-kucing mereka.

Usaha pendidikan tentang penjagaan kucing yang bertanggungjawab melalui pameran bergerak, acara-acara kemasyarakatan dan sekolah-sekolah akan juga dipergiatkan.

"Kami ingin mendengar pandangan anda tentang rangka kerja yang dicadangkan. Tinjauan ini akan diadakan melalui atas talian online mulai hari ini hingga 15 Februari tahun hadapan. Pandangan anda adalah amat penting bagi kami untuk membantu kami memperhalusi rangka kerja ini sebelum ia dilancarkan tahun hadapan," Pengarah, Lembaga Taman Negara, Kalthom Abd Latiff.

Kesemua saranan-saranan ini dijangka akan berkuatkuasa menjelang akhir tahun hadapan.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/SY/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan