Skip to main content

Singapura

AVS perkenal piawaian baharu tingkat kebajikan haiwan peliharaan

Dengan tumpuan terhadap kaedah latihan berperikemanusiaan yang mengutamakan kebajikan anjing, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) melancarkan satu kod baharu pada Sabtu (3 Okt) yang menetapkan piawaian minimum kebajikan haiwan bagi para jurulatih anjing.

Anggaran Waktu Membaca:
AVS perkenal piawaian baharu tingkat kebajikan haiwan peliharaan

Seekor kucing di sebuah kolong blok di Singapura. (Gambar: CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 12:19PM
AVS introduces new standards to improve pet welfare
  • AVS, under NPARKS, launched a new code for dog trainers in Singapore on Oct 3, emphasising humane training based on LIMA and positive reinforcement.
  • The code complements the pet industry standards in place since 2016, and failure to comply with it can be used as evidence for prosecution under the Animals and Birds Act.
  • AVS also revised the code for groomers after engagement, making animal supervision, safe restraint techniques, training, customer communication and record-keeping minimum standards.
  • From 2027, AVS will review the code for pet owners through a public consultation, while Alvin Tan stressed the daily responsibility people have for animal welfare.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Dengan tumpuan terhadap kaedah latihan berperikemanusiaan yang mengutamakan kebajikan anjing, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) melancarkan satu kod baharu pada Sabtu (3 Okt) yang menetapkan piawaian minimum kebajikan haiwan bagi para jurulatih anjing.

Kod bagi jurulatih anjing tersebut menggunakan pendekatan yang kurang mengganggu dan meminimumkan tindakan yang tidak menyenangkan (LIMA), dengan menggalakkan penggunaan kaedah latihan berperikemanusiaan berasaskan bukti serta pengukuhan positif sebagai asas untuk mengubah tingkah laku.

Walaupun alat yang boleh menyebabkan ketidakselesaan seperti kolar kejutan elektrik tidak dilarang sepenuhnya, para jurulatih kini perlu terlebih dahulu menggunakan kaedah yang kurang mengganggu dan berasaskan pengukuhan positif secara sistematik sebelum mempertimbangkan tindakan yang lebih keras.

Piawaian baharu bagi jurulatih anjing tersebut melengkapi kod kebajikan haiwan sedia ada bagi industri haiwan peliharaan, yang diperkenalkan pada 2016.

Sebelum ini, para jurulatih anjing di Singapura kebanyakannya menggunakan garis panduan berhubung latihan anjing dan pengubahsuaian tingkah laku, tanpa kod khusus yang menetapkan piawaian kebajikan haiwan dan kecekapan bagi profesion tersebut.

Selain jurulatih anjing, AVS, yang merupakan sebuah kelompok di bawah Lembaga Taman Negara (NParks), turut mengumumkan semakan terhadap kod sedia ada bagi jurudandan haiwan peliharaan dengan tujuan meningkatkan tahap kecekapan dan piawaian penjagaan.

Semakan tersebut termasuk menetapkan piawaian minimum baharu yang melarang haiwan daripada dibiarkan tanpa pengawasan pada bila-bila masa sepanjang proses dandanan.

Piawaian tersebut, termasuk bagi para jurulatih anjing dan sektor lain dalam industri haiwan peliharaan, bertujuan melindungi kesihatan dan kebajikan haiwan peliharaan.

Kegagalan memenuhi piawaian tersebut boleh digunakan sebagai bukti dalam pendakwaan bagi kesalahan di bawah Akta Haiwan dan Burung, menurut AVS.

Berucap di acara Hari Haiwan Sedunia di Bangunan Perpustakaan Negara pada Sabtu, Menteri Negara Pembangunan Negara Alvin Tan berkata kod baharu dan yang disemak itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menetapkan piawaian yang jelas dan relevan bagi meningkatkan mutu penjagaan haiwan secara keseluruhan.

"Jurulatih dan jurudandan juga mempunyai tanggungjawab. Mereka mesti mengekalkan piawaian profesional dan mengutamakan kebajikan haiwan," kata beliau.

SEKTOR DANDANAN HAIWAN PELIHARAAN

Kod bagi jurudandan haiwan peliharaan disemak selepas sesi libat urus dengan pelbagai kumpulan, termasuk satu tinjauan pada Mac yang menerima lebih 70 respons serta dua perbincangan kumpulan fokus pada April 2026 melibatkan jurudandan haiwan peliharaan, doktor haiwan, kumpulan haiwan dan orang awam.

Menurut AVS, para peserta menyokong semakan tersebut dan secara umumnya bersetuju terhadap keperluan memperkukuh piawaian industri.

"Kod bagi jurudandan haiwan peliharaan yang dimuktamadkan dan disemak mengambil kira maklum balas yang diterima menerusi sesi libat urus tersebut," menurut AVS.

Antara kemas kini utama termasuk kecekapan dan latihan jurudandan, petempatan, pengendalian dan pengawasan haiwan, prosedur dandanan serta komunikasi dengan para pelanggan dan penyimpanan rekod.

Walaupun kod 2016 mengesyorkan sebagai amalan terbaik supaya haiwan tidak dibiarkan tanpa pengawasan di atas meja, di dalam bilik atau di tempat mandi, kod yang disemak menjadikannya sebagai piawaian minimum.

Satu lagi piawaian minimum baharu menetapkan bahawa haiwan yang menunggu untuk didandan atau diambil pemilik perlu diperiksa secara berkala, manakala haiwan yang ditambat atau ditempatkan secara berkumpulan perlu diawasi secara fizikal pada setiap masa.

Kod bagi jurudandan haiwan peliharaan itu turut memperkenalkan piawaian minimum yang mewajibkan jurudandan menggunakan teknik dan peralatan yang selamat serta sesuai untuk menahan haiwan mengikut spesies. Antara contoh yang diberikan termasuk alat penahan dua lengan (double-arm lock restraint), kolar Elizabeth, tuala atau sarung tangan keselamatan.

Di bawah kod yang disemak, para jurudandan mesti mempunyai kebolehan mengenal pasti dengan segera tanda-tanda ketakutan, tekanan atau keadaan tertekan pada haiwan dan mengambil tindakan sewajarnya sebagai piawaian minimum. Ia merupakan ketetapan baharu berbanding kod asal.

Kod tersebut turut memperkenalkan bahagian baharu mengenai kecekapan dan latihan jurudandan, selain komunikasi dengan pelanggan dan penyimpanan rekod.

Menurut AVS, pelesenan dan pentauliahan jurudandan haiwan peliharaan merupakan pertimbangan berasingan yang memerlukan penilaian teliti dan rundingan lanjut dengan pihak berkepentingan.

SEMAKAN KOD KEBAJIKAN HAIWAN BAGI PEMILIK HAIWAN PELIHARAAN

AVS juga akan mula menyemak kod kebajikan haiwan bagi para pemilik haiwan peliharaan pada 2027 menerusi rundingan awam.

Menurut AVS, kod semasa diterbitkan pada 2017 dan akan dikemas kini bagi memastikan piawaian kebajikan kekal sejajar dengan amalan global yang berkembang serta perubahan dalam pemilikan haiwan peliharaan di Singapura.

Kod yang disemak akan mempunyai dua bahagian, satu mengenai piawaian minimum umum bagi semua spesies haiwan peliharaan dan satu lagi yang mengambil kira spesies haiwan tersebut.

Bahagian khusus mengikut spesies akan merangkumi anjing, kucing, burung dan mamalia kecil termasuk arnab, tikus belanda, gerbil, hamster dan chinchilla.

AVS menyatakan, ia akan melibatkan para pemilik haiwan peliharaan, doktor haiwan, kumpulan haiwan dan masyarakat umum menerusi rundingan awam, termasuk tinjauan online dan perbincangan kumpulan fokus.

Namun, kebajikan haiwan yang baik tidak boleh dicapai menerusi peraturan semata-mata, kata Encik Alvin Tan.

"Ia bergantung pada pilihan yang kita buat setiap hari: sama ada untuk membeli atau mengambil haiwan angkat ... bagaimana kita menjaganya, bagaimana kita melayan haiwan peliharaan kita, kepada siapa kita menyerahkan penjagaannya, bagaimana kita menjaga haiwan dalam masyarakat dan sama ada kita bersuara apabila sesuatu yang tidak betul berlaku."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita