AVA tarik balik jualan semua tembikai wangi dari Australia
Penguasa Agromakanan dan Veterinar Singapura (AVA) hari ini (8 Mac) mengumumkan ia menarik balik dari pasaran semua tembikai wangi dari Australia sebagai "langkah berjaga-jaga".
SINGAPURA: Penguasa Agromakanan dan Veterinar Singapura (AVA) hari ini (8 Mac) mengumumkan ia menarik balik dari pasaran semua tembikai wangi dari Australia sebagai "langkah berjaga-jaga".
"Pihak berkuasa Australia memberikan maklumat baru tentang tembikai wangi yang diimport daripada seorang peladang, pada 7 Mac. Menurutnya, lebih banyak tembikai wangi yang tercemar dieksport ke Singapura," menurut AVA dalam kenyataan medianya.
"Semua tembikai wangi dari ladang terbabit dikaitkan dengan wabak listeria di Australia."
"Sebagai langkah berjaga-jaga, Penguasa Agromakanan dan Veterinar Singapura (AVA) bekerjasama dengan pengimport dan peruncit untuk menarik balik penjualan semua tembikai wangi dari Australia, sementara menantikan penjelasan daripada sumber masing-masing."
Sebelum ini, AVA menarik balik dua bekalan import tembikai wangi dari sumber yang terjejas.
"Kami menarik balik semua tembikai wangi dari Australia serta merta selepas menerima perkembangan terkini daripada pihak berkuasa Australia," menurut AVA. Ia menyatakan pihak berkuasa Australia sudahpun mengesahkan bahawa ladang terjejas sudah menghentikan pengeluarannya pada 23 Februari dan tiada ladang lain yang terjejas di Australia.
Menurut AVA lagi, ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia tentang isu ini. Ia turut mendedahkan bahawa sebelum ini ia sudah mengambil sampel tembikai wangi yang dijual di Singapura untuk menjalankan ujian keselamatan makanan termasuk bagi bakteria listeria. Hasil kajian belum lagi dikeluarkan.
Sehingga kini, tiada kes listeriosis dilaporkan berlaku di Singapura kerana memakan tembikai wangi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.