AVA siasat khidmat jagaan haiwan peliharaan atas dakwaan penganiayaan
Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) sedang menyiasat beberapa aduan mengenai penganiayaan haiwan oleh sebuah syarikat khidmat jagaan haiwan peliharaan.

Menurut laman Platinium Dogs Club, ia mempunyai "pengalaman melebihi 20 tahun" dalam menguruskan anjing. (Gambar petikan skrin laman Platinium Dogs Club)
SINGAPURA: Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) sedang menyiasat beberapa aduan mengenai penganiayaan haiwan oleh sebuah syarikat khidmat jagaan haiwan peliharaan.
Pada Sabtu (29 Dis), pihak berkuasa menyerbu pekarangan Platinium Dogs Club sebagai sebahagian daripada siasatan yang dijalankan, menyusuli beberapa aduan yang diterima mengenai haiwan-haiwan yang didera ketika berada di bawah jagaan syarikat itu.
"AVA melindungi kebajikan haiwan dan ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap para pesalah," menurut pihak berkuasa tersebut dalam satu kenyataan.
Platinium Dogs Club di 7 Galistan Avenue di Bukit Panjang mengiklankan khidmat seperti pemindahan haiwan, jagaan seharian dan hiasan diri.
Menurut laman syarikat itu, ia mempunyai "pengalaman melebihi 20 tahun" dalam menguruskan anjing. Platinium Dogs Club juga menyatakan bahawa pusat kemudahannya "lengkap berhawa dingin setiap hari", "besar dan luas" serta "bebas sangkar".
Syarikat itu juga berjanji untuk "menyediakan hidangan makanan istimewa untuk haiwan-haiwan peliharaan" dan memberikan lebih tumpuan kepada haiwan-haiwan yang memerlukan jagaan perubatan.
Jurucakap AVA mengatakan pihaknya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
Di bawah Akta Haiwan dan Burung, pesalah-pesalah yang gagal memenuhi kewajipan mereka terhadap haiwan-haiwan itu semasa mengendalikan perniagaan berkaitan haiwan boleh dikenakan denda maksimum sehingga S$40,000 dan/atau dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun, jika sabit kesalahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.