AVA sahkan anjing hilang mati di Platinium Dogs Club
Seekor anjing jenis Shetland sheepdog yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas dihantar ke Platinium Dogs Club, mati ketika diletakkan di pusat jagaan haiwan peliharaan itu. Demikain menurut Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) pada Rabu (9 Jan).
Poster mencari 'Prince' yang sebelum ini disangka hilang selepas diletak di bawah jagaan Platinium Dogs Club. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Seekor anjing jenis Shetland sheepdog yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas dihantar ke Platinium Dogs Club, mati ketika diletakkan di pusat jagaan haiwan peliharaan itu. Demikain menurut Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) pada Rabu (9 Jan).
Dalam satu catatan Facebook, AVA menambah bahawa bangkai anjing yang mati itu kemudian dibakar oleh sebuah penyedia khidmat pembakaran bangkai haiwan peliharaan.
"Siasatan awal mendedahkan bahawa Prince, seekor anjing jenis Shetland Sheepdog yang dilaporkan hilang dari PDC (Platinium Dogs Club), mati ketika ia diletakkan di sana dan dibakar oleh penyedia khidmat pembakaran bangkai haiwan peliharaan," menurut catatan itu.
Secara berasingan, haiwan-haiwan yang diambil alih di bawah penjagaan sementara AVA ekoran serbuan di pusat itu sudah dipulangkan kepada pemilik masing-masing kecuali seekor anjing yang pemiliknya tidak berada di Singapura, dan seekor arnab.
"Kami sedang mencari pemilik arnab itu," kata AVA.
"Siasatan AVA masih dijalankan. Orang ramai dinasihati agar tidak membuat spekulasi dan biarkan siasatan dijalankan," tambah AVA lagi.
"AVA memandang serius terhadap kebajikan haiwan dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pesalah untuk melindungi kebajikan haiwan."
Platinium Dogs Club sedang disiasat oleh pihak berkuasa ekoran aduan yang mendakwa haiwan-haiwan di bawah jagaannya dianiaya.
Salah seorang pemilik haiwan itu ialah Cik Elaine Mao, yang diberitahu pada 30 Disember bahawa anjing jenis Shetland sheepdog kepunyaannya bernama Prince hilang selepas beliau menghantarnya ke pusat itu pada 16 Disember.
Anjingnya bukan di kalangan haiwan-haiwan yang diambil alih penjagaannya buat sementara oleh AVA selepas serbuan pada 29 dan 31 Disember. Sebanyak 18 anjing dan seekor arnab ditemui oleh AVA di pusat jagaan yang terletak di rumah sebandung di 7 Galistan Avenue.
Pengendali Platinium Dogs Club, seorang wanita berusia 30 tahun, ditahan pada Ahad.
Wanita itu sedang membantu dengan siasatan, terhadap kesalahan dipercayai melibatkan kebajikan haiwan, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara Sun Xueling dalam catatan Facebook pada Isnin.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berikar "siasatan menyeluruh" akan dijalankan ke atas pusat jagaan haiwan peliharaan itu.
Di bawah Akta Haiwan dan Burung, pihak yang didapati gagal memenuhi tanggungjawab menjaga haiwan-haiwan semasa menjalankan perniagaan berkaitan dengan haiwan boleh didenda sehingga S$40,000 atau dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.