Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Australia luluskan projek AS$13.5 billon untuk eksport tenaga suria ke SG

Anggaran Waktu Membaca:
Australia luluskan projek AS$13.5 billon untuk eksport tenaga suria ke SG

(Gambar: MADE NAGI / POOL / AFP)

SYDNEY: Australia menyatakan pada Rabu (21 Ogos) bahawa ia telah meluluskan projek kuasa suria bernilai A$20 bilion (AS$13.5 bilion) yang akan membekalkan tenaga dari ladang solar gergasi di utara negara itu ke Singapura melalui kabel dasar laut sejauh 4,300km.

Menteri Sekitaran Australia Tanya Plibersek berkata projek rangkaian tenaga Australia-Asia kendalian SunCable akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga boleh diperbaharui di dalam dan luar negara.

Keputusan pelaburan muktamad dijangka diumumkan pada 2027 dengan bekalan elektrik akan bermula pada awal tahun 2030-an, menurut SunCable.

Kelulusan itu diumumkan dengan syarat-syarat ketat untuk melindungi alam semula jadi dan projek itu mesti mengelakkan habitat 'bilby' yang besar, iaitu sejenis marsupial kecil seperti arnab dengan telinga yang panjang, menurut Cik Plibersek.

Sepanjang tempoh pembangunan dua peringkat itu, projek tersebut menyasarkan untuk membekalkan sehingga 6 gigawatt elektrik hijau kepada pelanggan industri berskala besar di Darwin, ibu kota Northern Territory di Australia, dan di Singapura.

Kelulusan itu dibuat sedang pemerintah Australia mempertingkatkan projek tenaga boleh diperbaharui walaupun pihak pembangkang mencadangkan pembinaan loji nuklear untuk menggantikan kuasa arang batu menjelang 2050, di negara di mana kuasa nuklear kini diharamkan.

SunCable, yang dimiliki oleh hartawan Mike Cannon-Brookes, berkata kelulusan itu adalah "undi percaya" terhadap projek tersebut.

Encik Cannon-Brookes, pengasas bersama firma teknologi Atlassian yang menjadi aktivis alam sekitar, berkata pada tahun lalu bahawa projek itu berdaya maju dan pelabur luar negara akan tertarik dengan projek itu.

"SunCable kini akan menumpukan usahanya kepada peringkat perancangan seterusnya untuk memajukan projek itu ke arah keputusan pelaburan muktamad yang disasarkan menjelang 2027," kata Pengarah Urusan SunCable Australia Cameron Garnsworthy dalam kenyataannya, yang tidak memberikan butiran pelan pembiayaannya.

Menurut SunCable, ia sedang berbincang dengan pengawal selia tenaga di Singapura mengenai kelulusan bersyarat bagi komponen antara penyambung kabel projek itu dan dengan pemerintah Indonesia untuk membina kabel di perairannya.

Projek itu mendapat kebenaran daripada pemerintah Northern Territory di Australia dan badan pemerhati alam sekitar wilayah itu pada bulan lalu.
Sumber : Sumber Web/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan