Skip to main content

Singapura

Audit LawSoc temui 'kelemahan' dalam kepimpinan, budaya tempat kerja dan tadbir urus: Edwin Tong

Anggaran Waktu Membaca:
Audit LawSoc temui 'kelemahan' dalam kepimpinan, budaya tempat kerja dan tadbir urus: Edwin Tong

Menteri Undang-Undang Edwin Tong berucap di Parlimen. (Gambar fail: Mediacorp)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 02:17PM
SINGAPURA: Audit terhadap dakwaan berkaitan tempat kerja di Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) menemui "kelemahan ketara" dalam kepimpinan, budaya tempat kerja dan tadbir urus antara 2022 dengan 2025.

Namun, siasatan itu tidak menemui bukti salah laku kewangan yang disengajakan atau usaha sengaja untuk menutup salah laku, kata Menteri Undang-Undang Edwin Tong dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Rabu (5 Ogos).

Encik Tong menjawab pertanyaan Anggota Parlimen GRC Jalan Besar Wan Rizal mengenai sama ada Kementerian Undang-Undang (MinLaw) sudah dimaklumkan mengenai hasil siasatan terhadap isu tempat kerja di LawSoc dan tindakan yang dirancang kementerian itu.

Menurut Encik Tong, dakwaan tersebut melibatkan kelakuan tidak wajar di tempat kerja, kelemahan dalam tadbir urus dan pengawasan, kekurangan dalam pengendalian aduan dan proses pemberi maklumat, serta kelemahan kawalan dalaman terhadap beberapa amalan pentadbiran dan kewangan.

ADUAN TANPA NAMA DIHANTAR KEPADA KEMENTERIAN

MinLaw dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menerima emel tanpa nama pada 13 September tahun lalu yang mengandungi dakwaan dan aduan terhadap individu serta beberapa amalan dalam LawSoc.

Encik Tong berkata dakwaan tersebut serius dan meluas serta melibatkan perkara yang berlaku antara 2022 dengan 2025.

MinLaw kemudian merujuk dakwaan tersebut kepada Majlis LawSoc untuk disiasat.

Majlis itu melantik Jawatankuasa Audit LawSoc bagi menjalankan siasatan dan mengemukakan saranan yang sesuai.

Jawatankuasa tersebut, yang terdiri daripada anggota dan bukan anggota LawSoc, menjalankan siasatan secara bebas daripada majlis berkenaan.

Laporannya diserahkan kepada Majlis LawSoc pada 5 Jun lalu sebelum satu salinan diberikan kepada MinLaw pada 1 Julai.

Encik Tong berkata meskipun audit itu tidak menemui bukti salah laku kewangan yang disengajakan atau usaha sengaja untuk menutup salah laku, ia mengenal pasti kelemahan ketara dalam kepimpinan, budaya tempat kerja dan tadbir urus.

Menurutnya, kelemahan sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam institusi seperti LawSoc kerana ia boleh menjejas keyakinan dalam pertubuhan itu, kesejahteraan kakitangannya serta kepercayaan masyarakat guaman dan orang ramai.

LAWSOC MULA LAKSANAKAN SARANAN

Encik Tong berkata Majlis LawSoc sekarang sudah menerima hasil penemuan Jawatankuasa Audit dan mula melaksanakan saranannya.

Beliau menambah majlis tersebut perlu meneliti keseluruhan hasil penemuan, menentukan sama ada tindakan lanjut diperlukan dan mengambil langkah tegas untuk menangani sebarang kelemahan.

Ia termasuk memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kebertanggungjawaban bagi mengelakkan isu serupa daripada berulang.

Majlis LawSoc juga sudah mengundang para anggotanya menghadiri mesyuarat tertutup bulan ini untuk membincangkan hasil penemuan jawatankuasa tersebut.

Encik Tong berkata LawSoc mempunyai kedudukan unik sebagai badan yang mewakili peguam Singapura dan perlu menjunjung nilai integriti, profesionalisme serta kebertanggungjawaban.

Menurutnya, LawSoc perlu memenuhi piawaian tertinggi dalam tadbir urus dan kebertanggungjawaban institusi.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita