Aturan mengundi 'mungkin boleh diperbaiki'; semakan rapi akan dijalankan, jamin PM Lee
Aturan mengundi pada Hari Mengundi "mungkin boleh dilakukan dengan lebih baik", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang memberi jaminan bahawa satu "semakan teliti" akan dijalankan.

(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Aturan mengundi pada Hari Mengundi "mungkin boleh dilakukan dengan lebih baik", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang memberi jaminan bahawa satu "semakan teliti" akan dijalankan.
Berucap pada dinihari Sabtu (11 Jul) di sidang media selepas keputusan Pilihan Raya Umum 2020 diumumkan, Encik Lee berkata memandangkan pilihan raya itu harus diadakan di tengah-tengah COVID-19, Jabatan Pilihan Raya (ELD) merancang "langkah berjaga-jaga tambahan" semasa proses mengundi dan menyediakan lebih banyak pusat mengundi bagi memastikan rakyat Singapura boleh mengundi "dengan selamat serta adil".
“Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga itu bermakna proses mengundi mengambil masa lebih lama, beratur lebih panjang dan bagi sesetengah kes, jauh lebih panjang di sebilangan pusat mengundi," kata Encik Lee.
“Kami melanjutkan tempoh mengundi lagi dua jam bagi memastikan setiap orang berpeluang untuk mengundi dan tidak akan terlepas untuk berbuat demikian kerana waktu mengundi sudah berakhir," tambahnya.
"Kami akan melakukan semakan rapi dan memastikan bahawa kami bertambah baik pada masa hadapan. Saya berterima kasih kepada semua pengundi atas kesabaran dan pemahaman anda."
Encik Lee menarik perhatian jumlah pengundi tahun ini lebih tinggi daripada pilihan raya yang lalu.
Setelah pusat mengundi ditutup, keseluruhan 2,535,565 undi diterima termasuk 45,772 undi yang ditolak, menurut ELD.
Ini membentuk 95.63 peratus daripada 2,651,435 pengundi berdaftar. Jumlah itu rendah sedikit berbanding perangkaan yang dilaporkan pada 8.00 malam di mana ELD menyatakan ia adalah berdasarkan "penjumlahan anggaran" yang diterima daripada 1,100 pusat mengundi.
GE2015 menyaksikan 2,304,331 keluar mengundi atau 93.56 peratus daripada pengundi berdaftar.
Encik Lee berkata bagi menangani "aturan khas bagi COVID-19", lebih ramai pegawai awam dikerahkan dalam pilihan raya kali ini.
“Selain tugas pilihan raya mereka yang biasa, mereka harus memikul beban tambahan untuk memastikan pilihan raya yang selamat bagi pengundi dalam keadaan mendesak luar biasa. Bagi pihak rakyat Singapura, saya mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan kerja keras mereka," ungkapnya.
Selepas 7.00 malam pada Jumaat, ELD mengumumkan waktu mengundi di pusat-pusat mengundi di Singapura dilanjutkan sehingga ke 10.00 malam bagi membolehkan pengundi lebih banyak masa untuk membuat undian mereka. Masa mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-13 Singapura dijadual berakhir pada 8.00 malam.
Awal hari Jumaat, barisan beratur panjang dilihat di beberapa pusat mengundi merata Singapura dengan ramai orang beratur berjela hingga ke luar pekarangan di kebanyakan pusat mengundi.
Pada petang Jumaat, ELD meminta maaf kepada para pengundi dan menyatakan ia sudahpun menggugurkan peraturan memakai sarung tangan pakai buang di pusat-pusat mengundi kerana ini menyumbang kepada masa menunggu yang lebih lama.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.