Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aturan kerja fleksibel 'lebih mampan' jika pusat jagaan, sekolah ditutup kerana COVID-19: MOM

Para ibu bapa boleh memanfaatkan aturan bekerja fleksibel apabila pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah-sekolah ditutup kerana terdapat kes-kes COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Aturan kerja fleksibel 'lebih mampan' jika pusat jagaan, sekolah ditutup kerana COVID-19: MOM

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 03 Aug 2021 03:05PM Dikemas Kini : 03 Aug 2021 03:06PM

SINGAPURA: Para ibu bapa boleh memanfaatkan aturan bekerja fleksibel apabila pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah-sekolah ditutup kerana terdapat kes-kes COVID-19.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Manusia Koh Poh Koon dalam responsnya kepada pertanyaan di Parlimen hari ini (3 Ogos).

Anggota Parlimen Saktiandi Supaat (PAP-Bishan-Toa Payoh) bertanya jika Kementerian Tenaga Manusia (MOM) boleh menimbangkan untuk memberikan cuti khas di samping cuti jagaan anak bagi para ibu bapa apabila pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah-sekolah ditutup secara rasmi disebabkan kes COVID-19.

Encik Saktiandi berkata beliau mengajukan soalan itu kerana beliau menerima maklum balas daripada para penduduknya yang segelintir daripada mereka terjejas apabila pusat-pusat jagaan kanak-kanak ditutup.

Sejumlah sekolah, pusat prasekolah dan jagaan kanak-kanak ditutup setelah kes COVID-19 dalam masyarakat meningkat dalam beberapa minggu lalu.

"Segelintir ibu bapa yang berjumpa dengan saya mengetengahkan situasi di mana para majikan mereka tidak begitu terbuka kepada pelaksanaan aturan kerja fleksibel. Jadi dalam senario sedemikian, ia penting," kata Encik Saktiandi.

"Kami akur bahawa ibu bapa yang bekerja mungkin berdepan cabaran tambahan apabila pusat-pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah-sekolah ditutup sementara kerana kaitan kepada kes COVID-19," kata Dr Koh.

Setiap ibu bapa bekerja yang mempunyai seorang anak warga Singapura layak menerima sehingga enam hari cuti berbayar bagi jagaan anak jika anak mereka di bawah usia tujuh tahun atau dua hari cuti lanjutan berbayar bagi jagaan anak jika anak mereka berusia antara tujuh dengan 12 tahun.

Hampir separuh daripada kesemua pekerja di Singapura mempunyai lebih daripada 14 hari cuti tahunan dan para ibu bapa boleh menggunakan cuti itu bagi menangani penutupan tersebut, katanya.

"Sebarang peningkatan kepada hari cuti, meskipun jika ia terhad pada waktu, perlu mengambil kira keperluan tenaga kerja dan operasi para majikan," kata Dr Koh yang juga merupakan Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan.

"Satu cara lebih mampan bagi menyokong para ibu bapa adalah untuk menyediakan aturan kerja lebih fleksibel."

Piawai Rakan Tiga Pihak bagi Aturan Kerja Fleksibel, Keharmonian Kerja-Hidup dan Cuti Tidak Berbayar bagi Keperluan Jagaan Tidak Diduga, diperkenalkan untuk menggalak dan membimbing para majikan mewujudkan sekitaran kerja yang membantu para ibu bapa mengimbangi tanggungjawab keluarga dan pekerjaan mereka, kata Dr Koh.

"Sepanjang tahun lalu, lebih ramai majikan mengamalkan aturan kerja fleksibel seperti waktu kerja yang fleksibel atau bekerja dari rumah. Ini pastinya dapat membantu para ibu bapa dan kami menggalakkan lebih ramai majikan untuk berbuat demikian," katanya.

Dr Koh menambah bahawa pada 2020, 93 peratus syarikat menawarkan aturan kerja fleksibel secara ad-hoc atau rasmi kepada para pekerja.

"Dalam konteks ramai majkan sudahpun mempunyai aturan kerja fleksibel, ia sebenarnya mengenai pemikiran untuk bekerjasama bagi mengatasi cabaran tertentu itu," katanya.

"Ia juga dalam kepentingan majikan untuk memastikan bahawa mana-mana pekerja yang mungkin mempunyai seorang anggota keluarga, meskipun dia hanya seorang kanak-kanak, yang mungkin berisiko dijangkiti atau berhubungan dengan kes COVID-19, untuk memastikan pekerjanya tidak bekerja supaya beliau tidak membawa sebarang jangkitan ke tempat kerja... jadi saya menggesa para majikan untuk mengamalkan sikap fleksibel itu."

Beliau mempelawa para ibu bapa yang mungkin merasakan bahawa mereka "ditindas secara tidak adil" oleh majikan mereka kerana mereka perlu menjaga keluarga, agar menghubungi MOM atau Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil (TAFEP) yang akan berurusan dengan majikan mereka berhubung hal itu.

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa