Aturan kerja fleksibel kian penting dengan lebih ramai penduduk SG sebagai penjaga: Gan Siow Huang
Garis panduan bagi aturan kerja fleksibel (FWA) yang akan berkuat kuasa pada tahun ini, menjadi semakin penting sedang lebih ramai penduduk Singapura memainkan peranan sebagai penjaga, kata Menteri Negara bagi Tenaga Manusia Gan Siow Huang hari ini (20 Feb).

(Gambar: Unsplash)
Garis panduan itu yang akan dilaksanakan pada lewat tahun ini, akan menetapkan norma bagi para pekerja untuk memohon bagi fleksibiliti serta menggalak para majikan untuk meluluskan permohonan itu berdasarkan keperluan perniagaan.
Rundingan dijalankan sejak September tahun lalu.
"Singapura mempunyai penduduk yang semakin menua. Kami tahu bahawa semakin ramai orang akan menjadi penjaga, pada satu ketika," kata Cik Gan semasa dialog mengenai Garis Panduan Tiga Pihak bagi Permohonan Aturan Kerja Fleksibel.
"Ia adalah tanggungjawab kami untuk mewujudkan sekitaran yang menyokong keadaan itu supaya mereka yang ingin bekerja boleh terus bekerja walaupun mereka sedang menguruskan tugas keluarga yang lain di rumah."
MENGIMBANGI KOMITMEN PEKERJAAN DENGAN JAGAAN
Sebuah kumpulan kerja yang terdiri daripada wakil daripada Pemerintah, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) dan pelbagai badan-badan profesional, dibentuk pada tahun lalu untuk menghasilkan garis panduan bagi memudahkan pelaksanaan aturan kerja fleksibel.
Ia adalah amalan-amalan terbaik yang akan menggalakkan perniagaan untuk menimbangkan pelbagai jenis permohonan termasuk waktu bekerja berperingkat atau pekerjaan separuh masa, dan ia mungkin termasuk contoh dasar munasabah dan tidak munasabah bagi menolak permohonan.
"Kami fikir bagi aturan kerja fleksibel, sejumlah besar yang akan meraih manfaat daripadanya adalah para penjaga," kata penolong setiausaha agung NTUC Yeo Wan Ling.
"Tetapi kami tahu pada masa yang sama bahawa menjadi fleksibel di tempat kerja dan mempunyai pelbagai aturan kerja yang berbeza adalah sesuatu yang dialu-alukan oleh ramai pekerja lebih muda.
"Mereka mungkin menimbangkan untuk melanjutkan pelajaran dan pada masa yang sama bekerja. Dan disebabkan hal itu, saya fikir aturan kerja fleksibel juga akan memberi manfaat kepada mereka yang bukan seorang penjaga."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.