Skip to main content

Singapura

Aturan kerja dari rumah antara langkah diambil syarikat di tengah gelombang COVID-19 SG

Anggaran Waktu Membaca:
Aturan kerja dari rumah antara langkah diambil syarikat di tengah gelombang COVID-19 SG

(Gambar: Priscilla Du Preez/Unsplash)

SINGAPURA: Di tengah-tengah gelombang jangkitan COVID-19 di Singapura, sesetengah syarikat mengambil langkah berjaga-jaga tambahan seperti menggalakkan pekerja mereka bekerja dari rumah.

Syarikat perhubungan awam Tate Anzur, misalnya, membuat keputusan untuk "menetapkan semula kesihatan" pekerjanya minggu lalu selepas menyaksikan ramai pekerja jatuh sakit.

Sepanjang bulan lalu, hampir separuh jumlah kakitangannya - 21 daripada 50 pekerja - mengambil cuti sakit. Empat daripada mereka kemudian diuji positif COVID-19.

Untuk mengurangkan masa perjalanan ke kerja dan di pejabat, syarikat tersebut menggalak kakitangannya untuk bekerja dari rumah sehingga akhir April.

Sebelum ini, kakitangannya perlu ke pejabat dua kali seminggu.

"Kami berharap dengan syarikat dan pekerja yang sama-sama memainkan peranan, kami boleh mewujudkan pasukan yang sihat dan bersemangat untuk melakukan yang terbaik di tempat kerja meskipun jumlah kes COVID-19 semakin meningkat sekarang ini," kata pengasas dan pengarah urusan syarikat Yvonne Li.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada 14 April berkata bahawa Singapura sedang mengalami gelombang COVID-19 sejak sebulan lalu, dengan kes harian meningkat daripada sekitar 1,400 pada Mac kepada kira-kira 4,000 kes sehari pada minggu sebelumnya.

Namun Encik Ong menarik perhatian jumlah kes sudah "stabil", bahkan berkurangan.

Menurut laman Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (17 Apr), 16,018 kes COVID-19 dicatat pada minggu antara 2 April hingga 8 April - lebih separuh daripada minggu sebelumnya sebanyak 28,410 kes.

MOH mengemas kini jumlah kes COVID-19 setiap minggu di bawah fasa endemik. Angka bagi minggu bermula 9 April masih belum didedahkan.

Daya tarikan pelancong Madame Tussauds Singapore - yang membenarkan pekerja yang tidak perlu bersemuka dengan pelanggan untuk bekerja dari rumah - menyatakan ia menyaksikan secara purata dua hingga empat kakitangan daripada pasukan yang perlu bersemuka dengan pelanggan mengambil cuti sakit sejak beberapa minggu lalu.

Antara langkah yang diambil termasuk memberi kit ujian COVID-19 di pejabat bagi mereka yang berasa kurang sihat.

"Jika positif, mereka segera dihantar pulang dan kit ujian (akan) diberikan kepada kontak rapat dan kawasan akan dibersihkan dengan teliti," kata ketua operasi komersil Sylvia Tan.

Sungguhpun begitu, tidak semua syarikat memilih untuk mengetatkan lagi langkah berjaga-jaga.

Minor Group, yang mengendalikan 16 jenama makanan dan minuman (F&B) termasuk Thai Express dan Poulet, menyatakan ia belum melaksanakan sebarang langkah berjaga-jaga tambahan sejak Singapura menurunkan amaran penyakitnya kepada tahap paling rendah pada Februari.

Para pekerja juga tidak perlu memaklumkan syarikat tersebut jika mereka dijangkiti COVID-19, kata pengerusi dan CEO Dellen Soh.

"Kami biasanya akan mengikut pemerintah bagi langkah-langkah yang perlu diambil, sekatan untuk dikenakan atau perkara yang perlu kami lakukan," kata Encik Soh.

DUDUK DI RUMAH JIKA TIDAK SIHAT

Walaupun gelombang jangkitan dijangkakan sedang tahap imuniti naik turun dalam kalangan penduduk, pakar penyakit berjangkit berkata adalah penting bagi syarikat untuk terus mengamalkan kesihatan awam yang baik.

Merujuk kepada beberapa kajian, Profesor Paul Tambyah menarik perhatian kehadiran yang tidak produktif di tempat kerja apabila pekerja bekerja bagi tempoh lama atau datang kerja walaupun sedang sakit, sudah lama diiktiraf sebagai "bahaya kesihatan awam utama" malah jauh sebelum COVID-19 melanda.

“Saya tidak fikir syarikat perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan. Mereka hanya perlu mengamalkan kesihatan awam yang baik – menggalakkan kebersihan yang baik dan juga memastikan pekerja mereka tidak bekerja semasa sakit,” kata Prof Tambyah, yang juga presiden Persatuan Penyakit Berjangkit Antarabangsa.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita