Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aturan antarabangsa tidak sempurna, namun ikhtiar terbaik bagi negara kecil: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Sep 2022 10:43AM Dikemas Kini : 23 Sep 2022 09:02PM
SINGAPURA: Aturan global tidak sempurna namun masih ikhtiar terbaik untuk negara-negara kecil mengukuhkan kedudukan masing-masing di persada dunia, kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada Jumaat (23 Sep).

Berucap melalui satu rakaman video di majlis bagi Forum Negara-Negara Kecil semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang masih berlangsung, PM Lee berkata negara-negara kecil bergantung kepada sistem berbilang pihak, berasaskan peraturan demi keselamatan dan untuk bertakat.

"Aturan antarabangsa tidak sempurna, namun ia adalah ikhtiar terbaik kami," kata PM Lee dalam mesej video tersebut.

"Jika kita kembali ke dunia di mana 'kekuatan lebih penting daripada hak', negara-negara kecil akan mendapati sukar untuk terus bertakat. Malah negara-negara besar juga tidak akan berada dalam kedudukan lebih baik".

Forum Negara-Negara Kecil merupakan perhimpunan tidak rasmi dengan 100 anggota daripada negara kecil yang dilancarkan oleh Singapura pada 1992.

Kali terakhir PM Lee berucap kepada khalayak dalam Forum tersebut adalah ketika beliau menjadi tuan rumah bagi para anggotanya pada 2019.

Tahun ini, perhimpunan itu menyambut ulang tahun yang ke-30 di tengah-tengah ketegangan geopolitik semakin meruncing dan keadaan ekonomi yang tidak menentu, kata beliau, sambil menambah
bahawa pencerobohan Rusia terhadap Ukraine sudah menjejas aturan berasaskan peraturan.

Harga makanan dan minyak yang semakin meningkat serta gangguan rantaian bekalan juga terus memburukkan lagi kemiskinan.

"Negara-negara kecil berdepan dengan cabaran yang sangat besar. Persekitaran luaran kita juga sudah menjadi lebih bermasalah dan berbahaya," kata PM Lee.

Ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China meningkatkan risiko konflik antara kuasa-kuasa besar dan perubahan iklim, patogen baru dan ancaman siber membahayakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di merata dunia, tambah beliau.

“Ketidakpastian dan ancaman ini boleh mendatangkan bahaya besar terhadap ekonomi, masyarakat dan kewujudan negara-negara kecil seperti kita. Kita sangat terdedah kepada bahaya dan hanya ada sedikit ruang untuk berdepan dengan kejutan-kejutan.

"Sekalipun demikian, negara-negara kecil tidak bermakna ia tidak mempunyai kuasa dan tindakan. Apa yang kurang dari segi saiz, boleh kita imbangi dengan ketangkasan, kepintaran dan kerjasama," kata PM Lee, sambil menambah bahawa negara-negara kecil boleh berkesan di PBB dengan menyokong dan menjunjung sistem berbilang pihak berasaskan peraturan.

Negara-negara kecil juga harus memainkan peranan aktif untuk mengkukuhkan sistem itu, kata Perdana Menteri sedang beliau menekankan perlunya untuk sedaya mungkin "mengekalkan kedudukan adil" demi melindungi kepentingan negara-negara kecil".

Negara-negara kecil juga perlu bekerjasama dalam aspek-aspek khusus seperti pembangunan mampan, perubahan iklim, keselamatan siber dan isu-isu lain yang baru muncul seperti tadbir urus kawasan lautan dan angkasa lepas, kata beliau.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan