Skip to main content

Singapura

Atlit termuda sukan Teqball harap dapat harumkan nama negara dalam Kejohanan Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Permainan sukan 'Teqball' kian mendapat perhatian di Singapura sejak ditampilkan di Sukan SEA Kemboja tahun lalu.

Meskipun sudah mula dimainkan di sini sejak 2020, jumlah pemain kian melonjak sejak temasya Sukan SEA itu.

Ia naik lebih 65 peratus pemain, dari sekitar 60 orang kepada 100 pemain sekarang.
 
Related article image
Gambar: Farhan Farook
Permainan yang berasal dari Hungary itu seperti campuran sepak takraw dengan tenis meja. Para pemain akan menimbang atau menekong bola melepasi papan khas 'Teqball'.

PEMAIN TEQBALL TERMUDA SINGAPURA

Keunikan sukan itu menarik atlit muda Sharifah Nur Amanina, 16 tahun.

"Pertama kali saya bermain Teqball ialah dengan jurulatih saya. Dia bawa saya ke Stadium Serangoon jadi pertama kali dia menunjuk cara bermain jadi dia mengajar saya cara bermain, peraturan dan semuanya jadi itu merupakan pertama kali saya bermain Teqball," kata Amanina kepada BERITA Mediacorp.

Ini semua dilakukan pelajar Sekolah Menengah Tampines itu di samping mengimbangi pelajarannya.

Dalam kalangan pemain yang bertanding di peringkat antarabangsa, Amanina merupakan yang termuda dan juga merupakan satu-satunya atlit perempuan dalam pasukan Teqball Singapura.

Namun disebabkan faktor itu, ia merupakan satu cabaran buatnya.

"Menjadi yang termuda dan satu-satunya perempuan dalam pasukan ini agak sukar kerana semua orang dalam pasukan ini lagi besar dari saya dan mungkin mereka lebih tahu cara untuk bermain Teqball tetapi selain daripada itu fikiran saya lebih kuat dan saya juga boleh mempelajari beberapa gerakan, beberapa kemahiran daripada yang lebih besar daripada saya," kata beliau.

RANGKUL PINGAT EMAS DI SUKAN SEA

Amanina mula bermain secara kompetitif tahun lalu apabila beliau terpilih mewakili negara
dalam Sukan SEA Kemboja.
Related article image
Gambar: Farhan Farook
Beliau berjaya merangkul pingat emas dalam acara perseorangan wanita.

"Saya berasa sangat bangga dengan diri saya sendiri dan saya rasa dihargai dan dialu-alukan oleh penduduk Kemboja di sana kerana mereka bersorak untuk saya, mereka memanggil nama saya jadi apabila mereka berbuat demikian ia benar-benar membuatkan saya berasa seperti dialu-alukan dan dihargai," kata Amanina.
 
Related article image
Amanina bersama jurulatihnya, Farhan Farook. (Gambar: Farhan Farook)
Bakat anak muda ini juga diakui jurulatihnya yang amat bangga atas pencapaiannya dan mengalu-alukan lebih ramai lagi untuk mencuba sukan ini.

"Amanina ini agak istimewa. Dia mempunyai asas dalam bola sepak. Dia bagus menimbang bola. Fokusnya juga sangat baik dan tentunya Teqball amat bahagia untuk adanya di Singapura. Saya harap lebih ramai pemain akan datang dan mencuba sukan ini dan ia adalah sukan yang semakin berkembang, ia adalah sukan yang sangat menyeronokkan untuk pemain baharu dan berpengalaman dan saya fikir ia sangat menyeronokkan untuk mencuba," kata jurulatih dan pemain Teqball negara, Farhan Farook.

Amanina dan juga pasukan Teqball Singapura kini lebih giat berlatih sebagai persiapan untuk ke Kejohanan Teqball Sedunia yang akan berlangsung tahun ini.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita