Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Atlit Team Singapore tepati jangkaan di Sukan SEA; sukan olahraga terima pujian khas

Atlit Team Singapore mencatat prestasi cemerlang di temasya Sukan SEA ke-31 dan memenuhi jangkaan yang ditetapkan, menurut ketua Institut Sukan Singapura Su Chun Wei pada Ahad (22 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit Team Singapore tepati jangkaan di Sukan SEA; sukan olahraga terima pujian khas

Ketua SSI Su Chun Wei. (Gambar: SportSG/Weixiang Lim)

SINGAPURA: Atlit Team Singapore mencatat prestasi cemerlang di temasya Sukan SEA ke-31 dan memenuhi jangkaan yang ditetapkan, menurut ketua Institut Sukan Singapura Su Chun Wei pada Ahad (22 Mei).

Bercakap di sidang media penutup tirai bagi acara serantau itu, Dr Su berkata Team Singapore boleh berasa "amat berbangga" atas pencapaian mereka di Sukan tersebut.

"Kami menetapkan jangkaan bagi diri kami sendiri sebagai Team Singapore... Kami sudah mencapainya," kata beliau kepada wartawan.

"Kami bangga dengan apa yang telah mereka capai. Kami mahu Team Singapore tidak mudah berpuas hati dengan apa saja pencapaian yang dikecapi, tetapi untuk sentiasa melakukan yang lebih baik lagi," tambah beliau.

Setakat hari ini, Team Singapore berjaya merangkul 47 pingat emas, 44 perak dan 70 pingat gangsa. Sebanyak 61 daripada 161 pingat dimenangi atlit yang membuat penampilan sulung mereka di Sukan SEA.

Sebanyak lima rekod Sukan SEA berjaya dipecahkan, 12 rekod baru negara dan 34 rekod peribadi dicatat di temasya sukan di Hanoi itu, menurut Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dalam kenyataan medianya.

Pasukan olahraga Singapura juga mendapat pujian khas atas pencapaian cemerlang mereka.

Mereka berjaya merangkul satu pingat emas, tiga perak dan tujuh gangsa. Lima rekod negara dan lapan prestasi peribadi terbaik dicatat.

Prestasi kali ini juga adalah yang terbaik dipamerkan pasukan olahraga sejak 1993.

Setiausaha Agung SNOC Chris Chan berkata beliau "gembira" dengan prestasi pasukan olahraga, sambil menambah beliau berharap ia akan mencetuskan minat dalam kalangan atlit muda menjangkaui peringkat sekolah.

"Pencapaian mereka sangat menggalakkan," katanya.

Pada edisi terakhir Sukan SEA, kontinjen olahraga Singapura tidak memenangi sebarang pingat emas atau perak, dan membawa pulang tiga pingat gangsa.

Sukan-sukan lain yang turut mendapat pujian termasuk sukan renang, pencak silat, sukan lawan pedang, wushu dan boling.

Dr Su juga menarik perhatian beberapa jenis sukan yang boleh mencatat prestasi lebih baik termasuk bola tampar, bola keranjang, bola baling dan mendayung.

Prestasi pasukan bola sepak lelaki pula katanya tidak seperti yang diramalkan. Pasukan Singa gagal capai ke peringkat separuh akhir Sukan SEA sejak 2013.

Anda boleh ikuti liputan Sukan SEA ke-31 di Vietnam secara langsung di meWatch atau sorotannya di saluran YouTube Mediacorp Entertainment.
 

Sumber : CNA/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan