Atlit Ski Alpine SG, Faiz Basha ingin jadi inspirasi buat anak muda tempatan
Atlit Ski Alpine SG, Faiz Basha ingin jadi inspirasi buat anak muda tempatan. (Gambar: Faiz Basha)
SINGAPURA: Pada usia tiga tahun sahaja, Faiz Basha Munwar Basha sudah mula diperkenalkan kepada sukan ski oleh ibu bapanya, yang pada ketika itu menetap di Switzerland.
Tidak diduga ibu bapanya, 18 tahun kemudian anak mereka kini sedang membuat persiapan bagi Olimpik Musim Sejuk 2026.
Itulah harapan yang dipendam Faiz Basha supaya layak ke temasya sukan berprestij itu kelak.
“Dalam pertandingan, apabila saya mencari kelajuan saya, terdapat satu perasaan seolah-olah saya sukar sekali untuk dimusnahkan Semua di sekeliling saya hilang dan saya melepaskan semua kebimbangan saya sehingga hanya ada saya dan laluan perlumbaan sahaja,” kongsi Faiz kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
“Saya rasa sukan ski lebih mencabar berbanding sukan-sukan lain. Terdapat banyak sekali faktor penentu yang ada - salji, cuaca, rupa bumi, laluan perlumbaan,” tambahnya.
Menurut Faiz, kelayakan bagi Olimpik Musim Sejuk 2026 akan hanya dibuka selepas Jun 2024.
Namun prestasi dan mata yang dikumpulnya setakat ini menepati syarat. Sehingga Jun 2024, Faiz berkata dia perlu mengekalkan prestasi itu atau lebih baik.
CIPTA SEJARAH JADI ATLIT SKI SG PERTAMA
Semasa membesar, anak kelahiran Singapura yang dibesarkan di Switzerland itu, banyak meluangkan masa di cerun-cerun ski dan mula bertanding dalam sukan itu apabila bakatnya dicungkil oleh Ecolint: International School of Geneva.
Beliau dijemput untuk menyertai Pasukan Ski Ecolint itu dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pasukannya pada tahun kedua terakhirnya di Sekolah Tinggi.
Faiz yang kini berusia 21 tahun kemudian mencipta sejarah dengan menjadi atlit ski Singapura pertama membuat kemunculan di pertandingan-pertandingan peringkat Persekutuan Ski Antarabangsa (FIS).
Ini dilakukannya sebaik sahaja tamat Diploma International Baccalaureate (IB).
Semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS) di Singapura pula, jauh daripada cerun-cerun salji, beliau mencari cara untuk mengekalkan dan juga memperbaiki kemahiran skinya termasuk menceburi luncur sebaris.
“Kembali kepada sukan itu selepas NS, saya pastikan untuk ‘bermula’. Dengan kemajuan dalam markah FIS saya pada musim sebelumnya, saya sudah mencapai dan melebihi tahap yang diperlukan untuk layak ke Olimpik seterusnya,” ujar Faiz.
“Matlamat utama saya daripada sini ialah untuk terus memperbaiki diri dan melihat sejauh mana saya boleh melakukannya dengan baik dan bagaimana saya boleh menolak lagi kelajuan saya sebelum sampai had saya,” tambahnya.
Dalam masa lima bulan sahaja selepas tamatnya NS, Faiz berjaya mencatat markah yang mengagumkan iaitu dari markah FIS 390 kepada 109, iaitu markah terbaik yang pernah beliau raih.
Dengan itu, beliau juga merupakan satu-satunya peserta dari Asia Tenggara untuk layak ke Sukan Musim Sejuk di New Zealand tahun ini, di mana beliau mendapat tempat ke-33 antara 94 pesaing antarabangsa di Slalom.
SETIAP LATIHAN "BERMAKNA" UNTUK FAIZ, PERLU ADA DAYA TAHAN
Faiz juga "berehat" selama setahun daripada sekolah untuk berlatih sebelum memburu ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
Ini lebih-lebih lagi sebagai seorang anak Singapura yang tak biasa dengan 'salji'.
Beliau berharap dapat memperbaiki prestasinya agar setanding dengan para atlit Eropah yang jaguh dalam sukan ini.
“Penyertaan dan prestasi saya sebagai seorang rakyat Singapura sudah menerima perhatian dalam pertandingan tetapi saya mempunyai hasrat untuk melakukan yang lebih baik lagi dan pergi lebih laju lagi,” dedah Faiz.
“Saya cuba untuk merancang latihan saya untuk “mengikuti salji”. Saya berlatih semasa musim sejuk kebanyakannya di Eropah, menyusuli musim panas yang diluangkan di New Zealand untuk mendapatkan musim sejuk di hemisfera Selatan. Di luar musim, saya menguruskan kekuatan dan keadaan di kemudahan-kemudahan kita di Singapura,” tambahnya.
Faiz berharap penglibatannya dalam sukan itu dapat membangkitkan semangat mereka yang mahu berjinak-jinak dalam sukan salji.
“Saya berharap saya boleh menjadi inspirasi dan (beri) bimbingan kepada anak-anak muda Singapura yang juga mempunyai minat untuk melakukan sukan salji,” tambahnya.
Sebelum Olimpik Musim Sejuk pada 2026 yang bakal diadakan di Itali, Faiz berharap dapat beraksi dalam Kejuaraan Dunia Ski dan Sukan Asia Musim Sejuk 2025.
Sebelum ini, Faiz juga pernah menarik perhatian ramai apabila cuba mereka sistem MRT yang baharu.
Faiz Basha menerima pujian daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Menteri Negara Kanan Pengangkutan pada ketika itu, Dr Janil Puthucheary.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.