Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Atlit sepak takraw & silat negara dapat beraya 2 hari sebelum latihan intensif menjelang Sukan SEA

Anggaran Waktu Membaca:

Para atlit negara kian sibuk buat persiapan bagi edisi ke-32 Sukan SEA yang bakal berlangsung kurang tiga minggu lagi di Kemboja.

Bagi sesetengah atlit Melayu/Islam, mereka merancang untuk meningkatkan lagi intensiti latihan mereka minggu depan selepas 1 Syawal.

Antara yang ghairah membuat persiapan adalah para atlit muda yang bakal membuat kemunculan pertama dalam acara Silat dan Sepak Takraw di Sukan SEA akan datang.

BERLATIH 3 KALI SEHARI, JAGA MAKAN WAKTU RAYA

Bagi generasi pelapis pesilat negara, Nur Tuhfah Izzah Md Roslan, 19 tahun, beliau meletakkan harapan besar bagi temasya sukan itu.

'

"Untuk Sukan SEA saya berharap dapatkan pingat emas tetapi saya rasa tidak mengapa jika saya tidak mendapatkannya, yang penting saya membuat lebih baik daripada dahulu. Saya rasa penting untuk saya berikan 100 peratus supaya tidak kesal semasa pertandingan," jelas Tuhfah.

Dalam membuat persiapan untuk mencapai prestasi terbaik menjelang temasya sukan itu, Tuhfah dan rakan sepasukan negara lain perlu berlatih dua kali sehari pada bulan Ramadan ini.

Ini sekali gus membawakan cabaran tersendiri buat Tuhfah.

"Pada bulan Ramadan saya perlu menjaga berat badan dengan lebih disiplin jadi saya perlu menjaga bila saya makan. Misalnya sebelum ini saya boleh membahagikan pemakanan saya pada bahagian berbeza."

Berat badan penting bagi setiap peserta dalam acara silat kerana ia menentukan kategori dan kumpulan pesaing yang mereka tandingi.

"Sekarang saya perlu pastikan apa yang saya makan ini boleh bertahan untuk selama hari untuk latihan petang dan buka puasa pula cukup tenaga untuk latihan malam," jelas Tuhfah.

Selain Tuhfah, seorang lagi pesilat muda yang bakal membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA kali ini ialah Muhammad Affiz Zakri, yang akan beraksi dalam kategori Seni - Regu Lelaki.

'

Menurut Affiz, prestasinya dan rakan sepasukan lain kini sekitar 75 peratus daripada prestasi terbaik yang mampu mereka capai.

"Belum lagi sampai tetapi perlahan-lahan akan sampai juga," kata Affiz.

Apabila pasukan negara mula menjalani latihan intensif mulai Isnin depan (24 Apr), Affiz akur daya ketahanan mereka akan terus diuji.

Affiz berkata, "Kita semua bersemangat untuk mencapai yang terbaik untuk Singapura. Jadi meskipun intensiti latihan akan meningkat, kita juga kekal kuat dan beri tumpuan kepada sasaran kita."

Meskipun ini merupakan kemunculan pertamanya di gelanggang Sukan SEA, Affiz sebenarnya sudah mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dalam sukan silat.

"Semestinya saya ingin mencapai matlamat untuk mendapatkan pingat emas tetapi saya rasa asalkan saya buat yang terbaik, tanpa kekesalan, saya akan rasa gembira," tambah Affiz.

PASUKAN SILAT HARAP DAPAT ULANGI PRESTASI CEMERLANG DI HANOI

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persisi, Sheik Alau'ddin Yacoob Marican berharap anak didiknya dapat meneruskan prestasi cemerlang mereka dalam Sukan SEA edisi sebelum ini.

"Memang kita harapkan seperti mana kita menunjukkan prestasi baik di Hanoi di mana kita dapat 4 emas dan banyak pingat gangsa dan perak. Kali ini kita akan meletakkan harapan sama juga, empat emas dan banyak lagi pingat-pingat lain. Lebih-lebih lagi daripada anak-anak muda dan pesilat baru kita," jelas Encik Sheikh Alau'ddin.

'

Dalam mempersiapkan pasukan negara menjelang Sukan SEA nanti, Encik Sheikh Alau'ddin mengatakan bahawa para pesilat akan menjalani latihan tiga kali sehari mulai Isnin depan (24 Apr).

Beliau berkata: "Kita telah meletakkan 100 peratus supaya mereka dapatkan kekuatan mental, jiwa raga dan fizikal. agar mereka menjadi lebih ganas."

"Kita akan terus berlatih tiap hari, nutrisi semua akan disediakan. Para pesilat ini, pemakanan mereka harus dijaga. Sebab Hari Raya pun akan datang. Kita akan adakan latihan intensif bermula 24 April. Latihan intensif, satu hari tiga kali untuk sekitar 10 hari," tambah beliau.

PASUKAN SEPAK TAKRAW KEMBALI KE SUKAN SEA SELEPAS 4 TAHUN 'MENGHILANG'

Bagi pasukan sepak takraw negara pula, mereka harap dapat menebus kekecewaan dalam edisi sebelum ini.

Kali terakhir mereka membuat kemunculan dalam Sukan SEA adalah pada edisi ke-30 di Filipina.

Pada temasya sukan itu, mereka gagal meraih sebarang pingat.

'

Dengan semangat membakar, pasukan sepak takraw negara berharap edisi di Kemboja kali ini akan membawa tuah buat mereka.

Skuad lima pemain negara itu akan beraksi dalam tiga kategori termasuk ganda, regu dan kuadran.

Menurut jurulatih Padzli Othman, pemilihan pemain yang mewakili negara kali ini bercampur-campur.

Bagi edisi Sukan SEA tahun ini, dua pemain negara akan membuat kemunculan negara mereka termasuk Danish Irfan Faizal, 21 tahun.

'

Danish akur belum mencapai tahap keyakinan yang tinggi untuk menentang pesaing hebat dari negara-negara seperti Thailand dan Malaysia.

"Untuk persembahan saya mungkin 50 peratus daripada persembahan negara-negara lain. Boleh lihat perbezaannya tetapi saya rasa penting untuk berikan yang terbaik," jelas Danish.

Untuk memperkukuhkan semangat dan juga kemahiran teknikal para pemain, pasukan itu juga akan mula menjalani latihan intensif pada Isnin depan (24 Apr).

'

Jurulatih Padzli Othman berkata, "Minggu depan kita akan ada permainan tempatan, selepas itu kita akan pergi ke Negeri Sembilan untuk adakan perlawanan persahabatan."

"Kelemahan mereka sekarang adalah semangat, semangat perjuangan kita masih tidak cukup. Para pemain kita perlukan semangat untuk bermain di temasya sukan besar, untuk mendapatkan pingat," tambah beliau.

'

Encik Padzli juga berharap anak didiknya dapat melakukan sebaik mereka dan berjaya merebut pingat di Kemboja.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan