Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Atlit S'pura Nur’Aini Mohamad Yasli menang pingat gangsa Piala Dunia ‘Powerlifting’ Dubai

Meskipun berdepan dengan cabaran fizikal dan bertubuh kecil kerana mengalami displasia pelbagai epifisis, Nur’Aini Mohamad Yasli, yang hanya memiliki ketinggian 1.36 meter, jelas tidak menjadikan keadaannya itu suatu hambatan untuk mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit S'pura Nur’Aini Mohamad Yasli menang pingat gangsa Piala Dunia ‘Powerlifting’ Dubai

Nur’Aini Mohamad Yasli menang pingat gangsa dalam Piala Dunia ‘Powerlifting’ Dubai. (Gambar: Facebook/SDSC)

SINGAPURA: Meskipun berdepan dengan cabaran fizikal dan bertubuh kecil kerana mengalami displasia pelbagai epifisis, Nur’Aini Mohamad Yasli, yang hanya memiliki ketinggian 1.36 meter, jelas tidak menjadikan keadaannya itu suatu hambatan untuk mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Atlit paralimpik dalam bidang angkat berat ‘powerlifting’ ini malah berjaya mengharumkan nama Singapura dalam Piala Dunia ‘Powerlifting’ Paralimpik Fazza ke-11 di Dubai pada Sabtu lalu (19 Jun).

Aini, 29 tahun, berjaya merangkul pingat gangsa dengan mengangkat 81 kilogram dalam kategori senior wanita sehingga 45 kilogram.

(Gambar: Petikan skrin dari Facebook/World Para Powerlifting)

Lebih membanggakan lagi, dengan kemenangan ini, Aini sekali gus tersenarai sebagai atlit yang ke-8 terbaik di dunia bagi ‘powerlifting’ paralimpik untuk Laluan Kelayakan Tokyo 2020, untuk wanita sehingga 45 kilogram.

“Teruja! Saya tidak pernah membayangkan dapat mengangkat berat 81 kilogram. Apabila saya selesai angkat berat itu, saya sedar bahawa pencapaian besar boleh berlaku apabila anda percaya dan yakin dengan diri sendiri,” kongsi Aini menerusi laman Facebook Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura.

ATASI REKOD PERIBADI SEBANYAK 16KG

Menariknya, Aini, yang kini bertugas sebagai eksekutif kanan di Politeknik Republic, juga mencatat rekod peribadi baru terbaik dengan mengangkat berat 81 kilogram itu. Sebelum ini, dia sekadar mengangkat berat sehingga 65 kilogram.

Bermakna, Aini berjaya menunjukkan peningkatan sehingga 16 kilogram!

Pencapaian membanggakan Aini itu juga hasil bimbingan jurulatihnya, Muhammad Abdul Razak Mansor, yang turut diberi anugerah Jurulatih (Pembangunan) Terbaik Tahun Ini bagi Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura 2020. 

(Gambar: Facebook/Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura)

Lulusan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam Dasar Awam dan Ehwal Global itu berkata: “Saya sentiasa berterima kasih dan menghargai segala sokongan dan mesej-mesej menggalakkan yang diterima di Singapura apabila saya ke pertandingan-pertandingan antarabangsa. Terima kasih kepada semua yang meluangkan seminit masa anda untuk menulis saya mesej yang bermakna.

(Gambar: Petikan skrin dari Facebook/World Para Powerlifting)

Yang pasti, walaupun bertubuh kecil, semangat Aini cukup besar dan mengagumkan. Malah, usaha Aini juga tidak akan terhenti di sini – beliau sebenarnya mempunyai sasaran yang lebih penting selepas ini.

“Matlamatnya adalah untuk layak bagi Sukan Paralimpik kerana ini pertandingan kelayakan terakhir bagi Tokyo 2020,” kata Aini dengan penuh harapan.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan