Atendan pam minyak diminta bayar S$1,500 angkara kesilapan, tapi akhirnya tidak perlu tanggung bil
Seorang atendan pam minyak tidak lagi perlu menanggung bil bagi kerja-kerja pembaikan setelah dia secara tidak sengaja mengepam petrol bernilai S$20 ke dalam sebuah kenderaan diesel pada 21 Januari lalu.

Gambar fail stesen minyak Caltex di Singapura. (Gambar: iStock)
SINGAPURA: Seorang atendan pam minyak tidak lagi perlu menanggung bil bagi kerja-kerja pembaikan setelah dia secara tidak sengaja mengepam petrol bernilai S$20 ke dalam sebuah kenderaan diesel pada 21 Januari lalu.
Akibatnya, kenderaan tersebut ditunda ke sebuah bengkel untuk mengeluarkan petrol yang diisi itu.
Pada awalnya, atendan pam itu diberitahu dia perlu membayar S$1,500 termasuk kos yang dibiayai pelanggan berkenaan untuk menyewa kereta sebagai kenderaan ganti.
APA SEBENARNYA BERLAKU
Mediacorp menerima maklumat pada Jumaat (28 Jan) tentang insiden itu yang berlaku di sebuah stesen minyak Caltex.
Atendan pam terlibat pada mulanya diberitahu kos keseluruhan bagi kerja pembaikan adalah sekitar S$400. Namun seminggu kemudian, pekerja itu diberitahu dia perlu memberi pampasan lebih S$1,500 kepada pelanggan berkenaan.
Jumlah itu termasuk harga kereta yang disewa pelanggan tersebut, yuran meletak kenderaan dan semua kos berkaitan pengangkutan yang perlu dibelanjakan pelanggan berkenaan sementara kereta Kia miliknya dibaiki di bengkel.
Atendan pam itu juga diberitahu bahawa S$1,500 akan dipotong daripada gajinya sekiranya dia gagal untuk membayar wang tersebut pada Jumaat. Pekerja itu berkongsi butiran tersebut bersama Mediacorp melalui panggilan telefon.
Dia tidak membayar jumlah tersebut dan takut akan kehilangan mata pencariannya.
Pemanggil yang mengongsikan maklumat itu - bekas majikan atendan pam tersebut dan pernah mengendalikan sebuah stesen minyak - berkata bedasarkan pengalamannya, stesen minyak mempunyai perlindungan insurans.
Biasanya, sebarang kos di bawah S$500 akan dibiayai pihak insurans, menurut beliau.
Atendan pam itu menghubungi bekas majikannya untuk meminta nasihat menyusuli insiden tersebut.
"Saya sudah memberitahunya (atendan pam) bahawa sekiranya dia ditegur majikannya, saya boleh memberinya pekerjaan lain," kata pemanggil itu.
"Dia seorang pekerja yang baik jadi ini bantuan kecil yang boleh saya lakukan."
"PANDANGAN TEGAS" TERHADAP AMALAN PEKERJAAN ADIL
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap daripada Chevron Singapore - syarikat yang menyelia jenama Caltex, berkata stesen minyak terlibat dikendalikan oleh penyedia khidmat pihak ketiga.
Namun demikian, Chevron mengambil "pandangan tegas terhadap amalan pekerjaan yang adil".
"Sebaik saja kami mendapat tahu tentang insiden itu, kami menghubungi penyedia khidmat tersebut dan menjelaskan bahawa mengenakan denda berbentuk kewangan ke atas pekerja mereka tidak selaras dengan nilai-nilai Chevron berhubung amalan pekerjaan yang adil," jelas syarikat berkenaan.
"Chevron juga sudah memberi jaminan kepada atendan pam itu bahawa dia tidak dikehendaki membayar kos bagi insiden tersebut."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.