Skip to main content

Singapura

A*STAR lancar kajian S$150 juta mengenai kesihatan dan pembangunan belia

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Jul 2026 03:32PM Dikemas Kini : 18 Aug 2026 09:36AM
SINGAPURA: Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) akan melancarkan inisiatif selama lima tahun bernilai S$150 juta bagi mengkaji golongan belia berusia antara 10 hingga 24 tahun, meliputi aspek tidur, pembangunan awal kanak-kanak dan penggunaan media digital.

Mengumumkan inisiatif itu pada Isnin (13 Jul), agensi tersebut menyatakan ia akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan rakan-rakan lain untuk mengkaji sekitar 5,000 remaja bagi menjana hasil penyelidikan yang khusus mengenai pembangunan belia di Singapura.

Kebanyakan penyelidikan sedia ada mengenai alam remaja berpandukan penduduk Barat, sekali gus mengehadkan kesesuaiannya dengan masyarakat Asia, di mana norma budaya membentuk pengalaman remaja secara berbeza, menurut para penyelidik dari Institut Pembangunan dan Potensi Manusia A*STAR.

Mereka berkata, walaupun 1,000 hari pertama kehidupan merupakan tempoh kritikal bagi perkembangan tubuh, otak dan sistem imun, alam remaja pula merupakan "peluang kedua yang amat penting" dalam proses pembangunan seseorang.

Remaja mengalami pertumbuhan fizikal yang pesat sepanjang tempoh ini, kata Pengarah Eksekutif institut tersebut, Profesor Johan Eriksson.

A*STAR menyatakan kajian itu dijalankan di tengah-tengah kebimbangan orang ramai yang semakin meningkat mengenai kesihatan mental, gaya hidup dan tabiat digital golongan belia.

"Ia bertujuan mengatasi kekurangan bukti penyelidikan jangka panjang di Singapura dan Asia bagi membimbing dasar, program serta intervensi."

Para penyelidik berkata masih terdapat jurang dalam pemahaman mengenai pembangunan remaja, khususnya bagaimana pengalaman awal kehidupan dan perubahan sosial mempengaruhi perkembangan dan pembangunan mereka dari semasa ke semasa.

Kajian lain seperti 'Growing Up in Singapore Towards Healthy Outcomes' meneliti aspek-aspek tertentu dalam perkembangan kanak-kanak di Singapura, namun inisiatif ini bertujuan menyelaraskan data daripada pelbagai kajian dan "menggabungkan semuanya", kata Prof Eriksson.

Beliau menambah bahawa kebanyakan kajian sebelum ini di Singapura dan negara-negara lain hanya memberi tumpuan kepada satu aspek kesihatan remaja, seperti kesejahteraan mental.

Prof Eriksson berkata latar belakang genetik penduduk Singapura juga berbeza daripada penduduk di Barat, selain mempunyai perbezaan budaya yang tersendiri.

BIDANG KAJIAN

Inisiatif tersebut akan mengkaji otak, tubuh dan gaya hidup remaja, termasuk bagaimana kesihatan fizikal, perkembangan kognitif, tidur, aktiviti fizikal, pemakanan dan tingkah laku digital saling mempengaruhi pada peringkat usia itu.

Dapatan kajian akan membantu merangka strategi kesihatan pencegahan, termasuk pendekatan menangani obesiti dan kesihatan metabolik.

Kajian itu juga akan meneliti perkembangan sosial dan psikologi serta bagaimana pengalaman awal kehidupan mempengaruhi perkembangan remaja. Para penyelidik akan mengkaji bagaimana keluarga, rakan sebaya dan dasar awam membentuk daya tahan, kesihatan mental dan prestasi akademik, di samping mengenal pasti remaja yang mungkin memerlukan sokongan awal yang lebih khusus.

Selain itu, kajian tersebut akan meneroka bagaimana perubahan pada pengalaman awal kanak-kanak dan persekitaran keluarga mempengaruhi trajektori kesihatan dan pembangunan golongan belia.

Inisiatif ini turut meliputi persekitaran digital dan bandar dengan mengkaji bagaimana penggunaan media digital mempengaruhi kesejahteraan, pembentukan identiti dan hubungan sosial mereka, di samping mengenal pasti faktor-faktor yang dapat mengurangkan kesan buruk.

Para penyelidik juga akan mengkaji bagaimana kawasan hijau, reka bentuk bandar, pendedahan kepada perubahan iklim dan kualiti alam sekitar mempengaruhi kesejahteraan fizikal dan mental.

Dapatan kajian akan digunakan untuk membangunkan serta menguji intervensi praktikal berasaskan bukti yang mencerminkan persekitaran tempat golongan belia tinggal, belajar dan berinteraksi.

Menurut Saintis Kanan Utama, Dr Evelyn Loo, para penyelidik akan menggunakan data daripada beberapa kumpulan peserta bagi mengenal pasti faktor paling penting yang mempengaruhi pembangunan remaja.

Beliau berkata pasukan penyelidik kemudian akan mengesahkan dapatan tersebut dengan melaksanakan dan menguji langkah-langkah berkenaan di peringkat nasional.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita