Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Askar RSAF mengaku jual tenggiling bunting yang dijumpai di penghubung taman

Anggaran Waktu Membaca:
Askar RSAF mengaku jual tenggiling bunting yang dijumpai di penghubung taman

(Gambar: Chan Luo Er)

Diterbitkan : 10 Jan 2024 11:44PM Dikemas Kini : 11 Jan 2024 08:46AM
SINGAPURA: Seorang askar  Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) mengaku di mahkamah pada Rabu (10 Jan), mengambil tenggiling bunting dari penghubung taman dan menjualnya pada harga S$1,400.

Damien Tan Guan Rong, 21 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menjual spesies haiwan liar yang dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar.

Tiga lagi tuduhan dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.

Pertuduhan tersebut disebabkan dia mengambil haiwan yang dilindungi dari penghubung taman, menjaga tenggiling di dalam flatnya di Punggol, dan gagal memberikan air yang cukup serta makanan yang sesuai kepada haiwan itu.

Mahkamah diberitahu bahawa Tan mengambil tenggiling itu dari penghubung taman di Yio Chu Kang Road pada awal pagi, 2 Julai 2023.

Dia kemudian menyimpan haiwan itu selama beberapa hari di rumahnya di Punggol dan memuat naik beberapa video dalam satu iklan, yang menawarkan tenggiling di dalam kumpulan sembang Telegram mengenai haiwan peliharaan eksotik di Singapura.

Tan menerima tawaran bagi tenggiling itu dan berbincang dengan beberapa pengguna Telegram tentang harga yang ingin ditawarkan.

Dia sedar bahawa tenggiling Sunda adalah haiwan yang memakan serangga dan makanan utamanya adalah semut, kata pendakwa raya.

Bagaimanapun, dia keberatan untuk mencari semut dan sebaliknya cuba memberi makan buah-buahan dan sayur-sayuran kepada tenggiling tersebut.

Tan berjumpa dengan seorang pembeli, Lee Kian Han, seorang lelaki rakyat Singapura 35 tahun, dan bersetuju untuk menjual tenggiling itu kepadanya pada harga S$1,400.

Mereka berjumpa sekitar pukul 2.00 pagi pada 4 Julai 2023, di sebuah flat HDB di Jurong West, di mana Lee membuat bayaran bagi haiwan itu melalui PayNow.

Pada hari yang sama, Lembaga Taman Negara (NParks) merampas tenggiling tersebut daripada Lee selepas mengesan iklan itu di Telegram.

Seorang pegawai NParks bertemu Lee dalam satu operasi rahsia, selepas menawarkan untuk membeli tenggiling itu pada harga S$1,600.

Tan ditangkap di rumahnya dan tenggiling tersebut dibawa ke pusat pemulihan dan pemeriksaan hidupan liar.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan pihaknya sedar tentang kesalahan Tan.

"SAF akan memulakan tindakan disiplin selepas perbicaraan mahkamah selesai."

Bagi kesalahan menjual hidupan liar yang dilindungi, seorang pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$50,000, atau kedua-duanya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan