Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Asia Tenggara serlahkan seni kebaya 'khas' agar diiktiraf dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Asia Tenggara serlahkan seni kebaya 'khas' agar diiktiraf dunia

Pameran kebaya di Muzium Negara di Singapura pada 5 April 2023. (Gambar: AFP)

AMPANG: Di sebuah butik di Malaysia, sekumpulan penjahit kelihatan tekun bertugas di mesin jahit, sambil membuat sulaman bunga dan daun pada kebaya, yang juga pakaian tradisional yang menjadi kebiasaan kaum wanita di Asia Tenggara.

Apa yang menjadikan kebaya itu istimewa ialah ia dipakai oleh wanita dari pelbagai latar belakang etnik di rantau yang cukup rencam, menurut Cik Lim Yu Lin, yang mengendalikan perniagaan itu bersama keluarganya.

Perniagaan yang diuruskannya itu juga diasaskan neneknya pada 1955.

"Ia bukan hanya dikhususkan bagi satu budaya sahaja," ujar beliau kepada AFP.

Dalam satu detik perpaduan, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand mencalonkan secara bersama kebaya bagi senarai warisan budaya tidak ternilai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan keputusannya dijangka dibuat pada 2024.
Sesuai bagi cuaca tropik yang panas, kebaya yang disulam dengan teliti itu biasanya berlengan panjang dan boleh disediakan dalam pelbagai cara, dari potongan longgar hingga mengikut potongan tubuh yang separa lut sinar.

Sepasang kebaya boleh berharga semurah S$9 bagi rekaan yang ringkas dan dijahit mesin, hingga ke sekitar S$1,610 bagi kebaya buatan tangan dengan sulaman terperinci.

LAMBANG KEBANGSAAN

Indonesia memilih kebaya yang berusia beratus-ratus tahun itu sebagai pakaian kebangsaannya bagi wanita selepas ia merdeka dari jajahan Belanda pada 1945.

Penulis buku dan aktivis kemerdekaan Soerastri Karma Trimurti meraikan akar budaya negaranya itu dengan mengenakan kebaya ke majlis pengisytiharan. Beliau kemudian dilantik menjadi menteri buruh pertama Indonesia.

Kebaya itu kemudian dijadikan lebih terkenal menerusi para pelakon filem Malaysia.

Malah syarikat penerbangan Singapura, Malaysia dan Indonesia juga menggunakannya sebagai inspirasi bagi pakaian seragamnya.

Secara tradisi, kebaya dipakai ke majlis perkahwinan dan acara formal, namun ia kian membuat kemunculan semula dalam kalangan penggiat yang memakainya dalam kehidupan seharian.

Di Singapura, Cik Charmaine Neo, 36 tahun, berkata beliau memakai kebaya untuk menghadiri acara kekeluargaan dan ia sesuai bagi wanita tanpa mengira usia.
"Ia sangat menyerlahkan potongan tubuh."

Di Indonesia, Telly Nathalia, 49 tahun, berkata beliau bercadang untuk mula memakai kebaya setiap hari semasa percutian dengan rakan-rakannya ke wilayah Jawa Tengah.

Dari sudut pandangannya, ia sebagai cara untuk berhubung dengan sejarah negaranya.

"Nenek moyang kami menetap di sini dalam keadaan berkebaya," kongsinya.

'BUDAYA KITA, IDENTITI KITA'

Kebaya dipercayai mula dipakai di Timur Tengah dan pernah dipakai oleh kedua-dua lelaki dan wanita.

Berpuluh-puluh gaya juga direka di merata Asia Tenggara, terutama sekali di Indonesia dan Malaysia.

"Ia sejenis pakaian wanita tradisional yang sudah berubah mengikut peredaran masa," kata Encik Yeo Kirk Siang, pengarah kanan Lembaga Warisan Negara (NHB), yang menganjurkan pameran kebaya pada bulan April menyusuli pencalonannya ke UNESCO.

"Ia merangkumi gabungan budaya, pengaruh dan masyarakat berbeza yang mencetuskan kebayanya masing-masing."

Cik Oniatta Effendi, pereka fesyen di Singapura yang menghasilkan kebaya moden, berkata ia adalah lambang warisan budaya.
"Kebanyakan kita membesar sambil melihat kebaya dipakai oleh ibu dan nenek kita. Ia lambang budaya kita, identiti kita," ujar beliau, menurut kenyataan NHB.

"Kebaya boleh ditampilkan secara berbeza di negara yang berbeza. Maknanya kepada satu-satu orang itu juga mungkin berbeza, tetapi apa yang pasti: Kebaya menyatukan kami menerusi satu identiti bersama."
Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan