Asia Tenggara sedang perhati perkembangan Timur Tengah, gerakan haluan Islamnya - K Shanmugam
Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata, Asia Tenggara sedang memerhatikan dengan sangat rapat perkembangan-perkembangan di Timur Tengah, terutama sekali implikasinya - iaitu ekoran perkembangan tersebut, haluan bagaimana Islam di Asia Tenggara akan bergerak.
SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata, Asia Tenggara sedang memerhatikan dengan sangat rapat perkembangan-perkembangan di Timur Tengah, terutama sekali implikasinya - iaitu ekoran perkembangan tersebut, haluan bagaimana Islam di Asia Tenggara akan bergerak.
Berucap di Ceramah SR Nathan anjuran Institut Timur Tengah NUS, Encik Shanmugam berkata Timur Tengah sedang melalui transformasi ekonomi, geopolitik dan juga sosio-budaya.
Dalam sosio-budaya misalnya baru tahun lalu Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan undang-undang yang membenarkan pasangan tidak bernikah untuk bersekedudukan dan melonggarkan sekatannya terhadap minuman keras.
Menurut Encik Shanmugam "penting dan menarik" untuk melihat bagaimana perubahan-perubahan tersebut menjejas cara agama Islam diamalkan dalam masyarakat-masyarakat berbeza.
Agama juga terus memainkan peranan besar di rantau Timur Tengah. Beliau menukil satu Tinjauan Belia Arab tahun lalu menunjukkan 40% belia Arab menganggap agama sebagai aspek paling penting dalam identiti peribadi mereka - malah lebih penting daripada keluarga mahupun kewarganegaraan.
Dalam bidang geopolitik pula, negara-negara Timur Tengah yang secara tradisi bergantung kepada Amerika Syarikat bagi isu-isu berkaitan pertahanan, kini juga menjalin ikatan ekonomi lebih mendalam dengan China pula.
Encik Shanmugam berucap di Ceramah SR Nathan yang dianjurkan secara maya. (Gambar: Petikan skrin video Facebook/Middle East Institute-NUS)
"Oleh itu, selain menangani ketegangan-ketegangan di rantau tersebut dan persaingan di antara tokoh-tokoh serantau berbeza, negara-negara Timur Tengah juga kini perlu mengemudi hubungan Amerika Syarikat-China dengan berhati-hati," jelas Encik Shanmugam.
"Di Asia Tenggara kami memerhatikan perkembangan-perkembangan di Timur Tengah dengan sangat teliti."
TIMUR TENGAH SUMBER RUJUKAN KEAGAMAAN BAGI ASIA TENGGARA
Bagi Singapura, dagangan dua hala dengan negara-negara Timur Tengah mencecah hampir S$60 bilion pada 2019 dan berkembangan pada kadar 4.2 peratus sejak lima tahun lalu.
Bagaimanapun peranan dan kesan Timur Tengah ke atas rantau ini melangkaui hubungan perdagangan dan ekonomi.
Kedua-dua rantau Timur Tengah dan Asia Tenggara sebenarnya berkongsi kesedaran dan identiti keagamaan yang sama, kata Encik Shanmugam.
"Asia Tenggara mempunyai hampir 300 juta orang Islam. Ramai orang Islam merata dunia melihat Timur Tengah sebagai pusat Islam dan sumber rujukan bagi perkara-perkara keagamaan.
"Interaksi budaya dan keagamaan antara Timur Tengah dengan Asia Tengga adalah meluas dan sudah menjangkau beratus tahun. Tapi hubungan rapat ini juga bermakna apa yang berlaku di Timur Tengah boleh mempunyai kesan dan impak yang sangat hebat di rantau ini," kata beliau.
"Misalnya, konflik di Timur Tengah menyebabkan sebilangan orang di rantau ini pergi ke Timur Tengah untuk menyertai kumpulan-kumpulan pelampau. Mereka mendapat latihan dan terus menjadi radikal serta menjadi ancaman kepada keselamatan serantau di rantau ini apabila mereka pulang ke Asia Tenggara."
MIlitan Taliban di Afghanistan. (Gambar: AFP)
Menurut Encik Shanmugam, yang juga Menteri Undang-Undang, sedang rantau Timur Tengah terus menangani cabaran-cabarannya, satu persoalan penting kata Encik Shanmugam adalah sama ada arah tuju Islam di rantau Asia Tenggara akan berubah kerana ketengan-ketegangan di Timur Tengah boleh mempengaruhi rantau ini.
Ceramah SR Nathan 2021 itu menampilkan Encik Omar Saif Ghobash sebagai penceramahnya.
Encik Omar Saif Ghobash. (Gambar: Petikan skrin video Facebook/Middle East Institute-NUS)
Beliau kini ialah Penolong Menteri bagi Ehwal Budaya bagi Amiriah Arab Bersatu. Sebelum ini beliau merupakan Duta UAE ke Perancis dan Rusia.
Encik Ghobash juga adalah pengarang buku bertajuk 'Letters To A Young Muslim' yang membincangkan isu-isu utama membelenggu Muslim muda - iaitu bagaimana mempunyai suara yang tulen kepada Islam tetapi juga hidup aktif dalam dunia moden.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.