Skip to main content

Singapura

Asia Tenggara mesti perhebat usaha pancing dana iklim: Ravi Menon

Anggaran Waktu Membaca:
Asia Tenggara mesti perhebat usaha pancing dana iklim: Ravi Menon
Duta Singapura bagi Tindakan Iklim, Ravi Menon.
SINGAPURA: Negara-negara Asia Tenggara masih ketinggalan di belakang pasaran lain dalam menarik dana untuk membiayai projek iklim, terutamanya dalam huraian-huraian teknologi yang disesuaikan dengan geografi dan pembangunan ekonomi mereka, kata Duta Singapura bagi Tindakan Iklim, Ravi Menon.

"Masih jauh lagi perjalanan di Asia Tenggara," kata Encik Menon, yang juga merupakan bekas pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Beliau bercakap kepada Mediacorp dalam wawancara meluas sempena sidang puncak COP30 tahun ini di Brazil, yang bermula pada Isnin (10 Nov), serta Festival FinTech Singapura yang akan dibuka pada Rabu.

Encik Menon menyatakan bahawa sepanjang dekad yang lalu, pembiayaan swasta untuk projek iklim di seluruh dunia meningkat "kira-kira 60 peratus, tetapi Asia Tenggara tidak mendapat banyak".

"Banyak pembiayaan mengalir ke ekonomi maju, (dan) sebahagian yang semakin meningkat... kini disalurkan ke ekonomi serantau yang sedang pesat membangun seperti India atau China dan sebahagian dari Amerika Latin."

Cabarannya, kata beliau, adalah untuk membina struktur kewangan dan insentif yang menarik modal ke tempat yang paling diperlukan.

BIAYAI PERALIHAN IKLIM

Encik Menon percaya model pembiayaan baharu adalah penting untuk merapatkan jurang tersebut.

Beliau menunjuk kepada Kerjasama Peralihan Financing Asia (FAST-P) - iaitu platform kewangan campuran yang diterajui Singapura yang menggunakan dana awam untuk menarik modal swasta.

Contohnya, setiap dolar modal awam mungkin membawa masuk kira-kira empat dolar modal swasta, katanya, "jadi dengan cara ini, lebih banyak dana dapat disediakan untuk menjayakan projek peralihan (iklim) di rantau ini".

Singapura juga giat memajukan pasaran karbon, yang disifatkan Encik Menon sebagai alat yang berkuasa untuk menyalurkan wang ke dalam projek penghapusan karbon.

"Apabila (syarikat) membeli kredit karbon, anda memungkinkan penghapusan karbon dalam pasaran sedang membangun atau negara membangun di mana mereka tidak mempunyai pembiayaan yang diperlukan untuk meneruskan projek peralihan," katanya.

SG SEBAGAI PEMANGKIN SERANTAU

Dalam usaha pembiayaan iklim di rantau ini, Encik Menon melihat peranan Singapura sebagai pemudah cara dan rakan kongsi.

Dengan sektor kewangan yang kukuh, hab perkhidmatan karbon, dan usaha berterusan dalam teknologi bersih seperti penapisan karbon, hidrogen, bahan api bio, dan teknologi pertanian (agri-tech), Singapura berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong peralihan Asia Tenggara.

"Ia adalah mengenai menjadikan diri kita berguna dan relevan kepada keperluan Asia Tenggara dan menyalurkan sebahagian daripada pembiayaan ini ke arah projek di sana," katanya.

AMBIL SERIUS MATLAMAT COP30

Mengenai persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30), Encik Menon berkata fokus utama haruslah pada komitmen nasional yang lebih kuat untuk mengekang pelepasan.

Tidak semua 11 ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) menyerahkan sasaran iklim 2035 yang dikemas kini, katanya, sambil menzahirkan harapan agar lebih banyak negara berbuat demikian.

"Itu akan menghantar isyarat yang kuat bahawa kita serius, bahawa kita mempunyai sasaran yang kukuh, dan itu akan membantu menarik pelaburan dan modal ke rantau ini," jelasnya.

Beliau menambah bahawa penekanan Brazil terhadap hutan dan penyingkiran karbon berasaskan alam semula jadi adalah relevan untuk Asia Tenggara, memandangkan penebangan hutan adalah sumber pelepasan kedua terbesar di Asia selepas loji janakuasa arang batu.

"Huraian kepada penebangan hutan dan teknologi untuk penghutanan semula yang bermakna, pemulihan, bakau, tanah gambut... itu sangat relevan untuk Asia Tenggara," katanya.

SATU DEKAD EVOLUSI FINTECH

Sempena ulang tahun ke-10 Festival FinTech Singapura, Encik Menon, yang kini merupakan pengerusi Global Finance & Technology Network, turut diminta untuk memberikan pandangan sejauh mana kemajuan sektor teknologi kewangan negara itu.

Apa yang bermula sebagai sebilangan kecil syarikat pemula dan projek perintis sudah berkembang menjadi hab inovasi global, katanya.

Gelombang pertama tertumpu pada pembayaran dan prasarana digital nasional seperti Singpass, MyInfo, dan PayNow, yang mewujudkan asas untuk ekonomi digital.

"Untuk 10 tahun akan datang, kita akan melihat pengembangan sistem pembayaran digital berbilang hala, lebih banyak ketersambunga dan masa penyelesaian yang lebih pantas."

Gelombang lain ialah aset yang dijadikan token, yang melibatkan penukaran hak pemilikan aset dunia sebenar atau kewangan kepada token digital pada rantaian blok. Konsep ini masih mempunyai jalan yang panjang, kata Encik Menon.

Beliau berkata kejatuhan kripto baru-baru ini menjadikan industri lebih sedar tentang risikonya walaupun potensinya kekal kukuh.

Cabaran sekarang, tambahnya, adalah untuk "mengenal pasti yang baik daripada yang buruk," menguruskan risiko mata wang kripto swasta sambil membangunkan stablecoins dan mata wang digital bank pusat yang boleh menjadikan sistem kewangan lebih cekap dan berdaya tahan.

KECERDASAN BUATAN, PENGKOMPUTERAN KUANTUM

Kecerdasan buatan (AI) juga merebak ke seluruh perkhidmatan kewangan, bukan sahaja dalam kandungan generatif tetapi dalam sistem pembelajaran mendalam untuk pengurusan risiko, proses mengoptimumkan portfolio, dan pengesanan penipuan, kata Encik Menon.

Bank digital sudah bergantung pada AI untuk penilaian kredit, tetapi Encik Menon melihat potensi terbesarnya adalah dalam menangani jenayah kewangan seperti pengubahan wang haram.

Mengenai pengkomputeran kuantum, Encik Menon berkata teknologi itu berada di peringkat awal dan berpotensi untuk menyelesaikan masalah kompleks jauh melebihi apa yang mungkin dilakukan pada masa ini.

Pada masa yang sama, beliau memberi amaran, keupayaannya untuk memecahkan penyulitan (encryption) menimbulkan risiko keselamatan yang ketara yang mesti dipersiapkan oleh sistem kewangan.

MENGAWAL RISIKO BAHARU

Singapura sudah mencapai kemajuan besar dalam bidang seperti pencegahan penipuan dengan kawalan yang lebih ketat dan penyelarasan yang lebih besar antara bank pusat, pengawal selia dan agensi penguatkuasaan.

Matlamatnya, tegas Encik Menon, adalah untuk mencapai keseimbangan yang betul antara keselamatan dengan kemudahan.

"Jika kita terlalu ketat dalam kawalan, kita akan kembali ke zaman dahulu di mana pembayaran sangat menyusahkan," katanya.

Beliau menyamakan evolusi pembayaran digital dengan hari-hari awal kereta, apabila langkah keselamatan diperkenalkan secara bertahap-tahap selepas banyak kemalangan berlaku.

Beliau berkata institusi kewangan mesti menjadikan pembayaran sama selamat - ibarat ada tali pinggang keledar, papan tanda trafik, dan peraturan digital - supaya ia "kebanyakannya selamat" untuk pengguna harian.

"Seperti segala-galanya yang sudah kita tangani dalam 10 tahun yang lalu dalam bidang teknologi, ia adalah ibarat pisau bermata dua - ada kebaikan dan keburukan," tambahnya.

"Tiada sebab untuk mengelakkannya, tetapi saya fikir ia harus membuat kita berhati-hati dalam cara kita memanfaatkan faedah dan cara kita menguruskan kelemahannya."
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita