Skip to main content

Singapura

Asia Tenggara harus waspada kesan eksploitasi kumpulan pengganas terhadap ketidakstabilan di Syria: ISD

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Ketidakstabilan di Syria selepas kejatuhan mantan presiden Bashar al-Assad mungkin memberi tempias kepada Asia Tenggara dan Singapura, memandangkan "hubungan ideologi dan operasi antara kumpulan pelampau di Timur Tengah dan rantau ini," menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Kumpulan pengganas seperti ISIS dan Al-Qaeda berkemungkinan akan "mengambil kesempatann kekosongan kuasa sekarang ini untuk membina semula dan merekrut," jelas ISD pada Isnin (23 Dis).

Kumpulan-kumpulan itu mungkin akan memanfaatkan perkembangan di negara tersebut bagi naratif diayah mereka, menggambarkan kejatuhan rejim Assad sebagai kemenangan bagi perjuangan jihad yang ganas.

“Sesetengah daripada mereka mungkin juga akan mengeluarkan seruan agar penyokong mereka menyertai barisan di Syria atau mengambil inspirasi daripada kemenangan tersebut dengan melibatkan diri dalam keganasan di negara masing-masing,” menurut ISD.

“Keadaan keselamatan di Syria adalah tidak stabil dan perlu dipantau,” tambahnya, sambil menyatakan bahawa sekitaran yang tidak menentu ini boleh “meningkatkan risiko ekstremisme dan pengganasan.”

ISD memberi contoh bagaimana perang saudara di Syria lebih sedekad lalu menyediakan medan bagi pembentukan ISIS serta Al-Nusra Front yang ada kaitan dengan Al-Qaeda.

Kedua-dua kumpulan itu menarik ratusan anggota asing dari negara-negara Asia Tenggara, manakala ajaran mereka dilaporkan telah mempengaruhi ribuan Muslim menjadi radikal di Malaysia, Indonesia dan Filipina, memberi inspirasi kepada sesetengah mereka untuk melancarkan serangan maut di negara masing-masing, menurut penganalisis.

<<BACA: Asia Tenggara mesti berwaspada terhadap ekstremisme di tengah pergolakan politik Syria>>

ISD memberi amaran bahawa pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang berniat untuk terlibat dalam keganasan bersenjata di Singapura mahupun di luar negara.

Ia berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp minggu lalu mengenai sama ada kumpulan pengganas boleh mengambil kesempatan daripada situasi semasa di Syria untuk meluaskan pengaruhnya, termasuk di Asia Tenggara dan Singapura.

Pada 8 Disember, pemberontak dari Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menguasai ibu kota Damsyik dan beberapa bandar penting di Syria. Selepas tengah malam, muncul berita bahawa Assad telah melarikan diri ke Rusia.

Kejatuhan Assad menandakan permulaan bagi berakhirnya konflik 13 tahun di Syria yang meragut lebih 580,000 nyawa dan menyebabkan 12 juta orang kehilangan tempat tinggal mereka.

HTS menafikan masih mempunyai kaitan dengan mana-mana rangkaian pengganas, tetapi banyak negara dan Majlis Keselamatan PBB terus mengklasifikasikan kumpulan itu sebagai pertubuhan pengganas.

Di tengah-tengah kejatuhan Assad, penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa pihak berkuasa Asia Tenggara perlu berwaspada.

Namun, beberapa pakar melihat risiko gelombang ekstremisme baharu di Asia Tenggara sebagai agak rendah buat masa ini.

ISD memberi amaran bahawa pihaknya akan bertindak terhadap sesiapa yang berniat untuk terlibat dalam keganasan bersenjata di Singapura atau luar negara.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyokong, menggalak, melaksanakan atau membuat persiapan untuk terlibat dalam keganasan bersenjata, sama ada di Singapuramahupun di luar negara,” kata jurucakap ISD.

ISD telah menahan warga Singapura yang menjadi radikal sebelum ini, yang berniat untuk pergi ke Syria bagi melibatkan diri dalam keganasan bersenjata.

Pada Oktober, seorang pelajar Singapura berusia 17 tahun ditangkap kurang sebulan sebelum menjalankan rancangannya untuk melancarkan serangan pengganas di kawasan kediaman Singapura.

Remaja itu juga berhasrat untuk pergi ke Syria untuk menyertai ISIS dan melibatkan diri dalam keganasan bersenjata.

Pada Julai, Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, berkata dua warga Singapura telah dikenakan perintah sekatan kerana menyokong pengganasan dan keganasan bersenjata.

Mereka telah menjadi radikal selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Salah seorang daripada mereka adalah seorang remaja lelaki berusia 14 tahun – yang paling muda pernah diberikan perintah sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) – manakala seorang lagi adalah seorang wanita berusia 33 tahun yang merupakan pengurus di sebuah badan berkanun.

Pada Februari tahun lalu, ISD berkata seorang penyokong ISIS berusia 18 tahun dari Singapura telah ditahan pada Disember 2022 selepas dia mempertimbangkan untuk menyerang sasaran, termasuk kem tentera dan kawasan perkuburan di sebuah masjid di Singapura.

Pelajar itu juga berhasrat untuk pergi ke luar negara, termasuk Syria, untuk menyertai keganasan bersenjata.

Dua remaja lain yang merupakan kenalan online pelajar tersebut turut dikenakan perintah ISA atas kegiatan berkaitan pengganasan.

ISD menggesa orang ramai supaya kekal berwaspada terhadap tanda-tanda bahawa orang di sekeliling mereka mungkin telah menjadi radikal, dan melaporkan mereka kepada pihak berkuasa.

Tanda-tanda seseorang menjadi radikal termasuk menyiarkan atau berkongsi pandangan bersifat pelampau di media sosial, dan menyatakan sokongan atau kekaguman terhadap pengganas atau kumpulan pengganas, serta penggunaan keganasan.

Sesiapa yang mengetahui atau mengesyaki seseorang telah menjadi radikal diminta menghubungi hotline ISD di 1800 2626 473 (1800-2626-ISD), tambah jurucakap itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita