Aset wakaf 11 Beach Road agih hampir S$24j
SINGAPURA: Sebanyak S$23.79 juta yang diraih dengan menyewakan ruang-ruang komersil bangunan di 11 Beach Road sudah diagihkan kepada pihak-pihak berkepentingan sejak bangunan itu dibeli menggunakan hasil penjualan 43 aset wakaf.
SINGAPURA: Sebanyak S$23.79 juta yang diraih dengan menyewakan ruang-ruang komersil bangunan di 11 Beach Road sudah diagihkan kepada pihak-pihak berkepentingan sejak bangunan itu dibeli menggunakan hasil penjualan 43 aset wakaf.
Antara aset wakaf yang dipindahkan itu termasuk hartanah wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain yang mendapat perhatian baru-baru ini di media sosial selepas lokasi asalnya di 5 Lorong 9 Geylang digunakan menjadi mendirikan sebuah kuil Pu Guang Tang.
Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifili hari ini (6 Jul) mendedahkan jumlah itu dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan Anggota Parlimen Faisal Manap.
Selain menanyakan tentang jumlah pendapatan yang diraih, Encik Faisal juga meminta beberapa perincian lain termasuk keluasan lantai kasar lokasi baru itu.
Menjawab pertanyaan tersebut, Encik Masagos menjelaskan bahawa bangunan enam tingkat di 11 Beach Road adalah hartanah komersil dengan keluasan tanah 714 meter persegi dan saiz ruang yang boleh disewakan seluas 3,202 meter persegi.
Encik Masagos juga menerangkan bahawa sebahagian besar pendapatan dari bangunan tersebut diperolehi dengan menyewakan ruang-ruang komersil berkenaan.
MUIS sebelum ini berkata, pemindahan tersebut dibuat selepas keadaan di lokasi asal menjadi "usang" dan "tidak menjana sebarang pendapatan" untuk membolehkan tujuan asal wakaf itu dilaksanakan.
Niat asal Allahyarham Haji Pitchay Meerah Hussain adalah untuk menggunakan hartanah wakaf tersebut sebagai sebuah madrasah.
Encik Masagos menerangkan bahawa MUIS sudah mempertimbangkan beberapa pilihan supaya dapat mencapai niat asal yang diinginkan 'wakif'. Menjelaskannya dengan lebih lanjut, beliau berkata menjual atau memindahkan hartanah ke tempat yang menawarkan prospek lebih baik serta dapat menjana pulangan bagi menyokong pendidikan madrasah, menepati matlamat tersebut. Ini menurut beliau dilakukan berdasarkan pendekatan 'istibdal wakaf' seperti yang tertera dalam sebuah fatwa.
Encik Faisal turut menyoal sama ada ahli keluarga Allahyarham Haji Pitchay Meerah Hussain sudah dimaklumkan dan bersetuju dengan pemindahan tersebut.
Di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) kata Encik Masagos, MUIS ditugaskan untuk mentadbir semua wakaf di Singapura untuk memastikan hartanah wakaf kekal berdaya maju dan mendapat pulangan yang semaksimum mungkin untuk para penerima. Tugas itu juga dilaksanakan di bawah nasihat Jawatankuasa Fatwa, tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.