Skip to main content

Singapura

Aset dirampas atau dibeku dalam kes pengubahan wang haram SG kini bernilai lebih S$2.4 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
Aset dirampas atau dibeku dalam kes pengubahan wang haram SG kini bernilai lebih S$2.4 bilion

(Gambar: Pasukan Polis Singapura)

SINGAPURA: Kes pengubahan wang haram rentas negara besar-besaran yang dibongkar di Singapura kini bernilai lebih S$2.4 bilion, melibatkan aset-aset yang sudah dirampas atau dibekukan.

Jumlah tersebut adalah lebih dua kali ganda nilai asal S$1 bilion yang terdiri daripada kereta mewah, rumah, wang tunai dan aset lain yang ditemui pada pertengahan Ogos. Ini selepas polis Singapura menyerbu beberapa lokasi di seluruh negara dan memberkas 10 warga asing.
Pada awal September, para pendakwa di mahkamah berkata jumlah aset tersebut ketika itu bernilai S$1.8 bilion.

Pada Rabu (20 Sep), polis menyatakan ia menjalankan operasi lanjutan di mana lebih banyak aset berjaya dirampas dan dikenakan perintah larangan.

Aset-aset yang dirampas kini termasuk akaun bank dengan nilai dianggarkan melebihi S$1.27 bilion dan wang tunai, termasuk mata wang asing, lebih S$76 juta.

Jumlah asal yang dirampas pada Ogos adalah lebih S$110 juta dan wang tunai lebih S$23 juta.

Polis menambah bahawa pihaknya merampas 68 jongkong emas, melonjak daripada dua sebelum ini, serta 294 beg mewah dan 164 jam tangan mewah.

Mereka juga merampas 546 barang kemas, daripada 270 sebelum ini, dan 204 peranti elektronik seperti komputer dan telefon bimbit.

Sekarang, terdapat lebih 110 hartanah dan 62 kenderaan, dengan nilai dianggarkan lebih S$1.242 bilion, yang dikenakan perintah larangan berkaitan dengan siasatan tersebut. Aset tersebut masing-masing naik daripada 105 hartanah dan 50 kenderaan.

Mata wang kripto lebih S$38 juta juga dirampas, serta beberapa botol minuman keras dan sejumlah barang perhiasan.

Ini membawa jumlah keseluruhan yang dirampas atau dikenakan perintah larangan pelupusan kini bernilai lebih S$2.4 bilion, tambah polis.

Siasatan masih dijalankan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita