Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ASEAN sedia runding dengan Amerika Syarikat, sementara SG gandakan usaha integrasi ekonomi serantau

Negara-negara ASEAN bersetuju untuk tidak mengambil sebarang tindakan balas terhadap tarif Amerika Syarikat, dalam satu pertemuan antara menteri-menteri ekonomi blok serantau itu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Apr 2025 08:56PM Dikemas Kini : 10 Apr 2025 09:18PM
SINGAPURA: Negara-negara ASEAN bersetuju untuk tidak mengambil sebarang tindakan balas terhadap tarif Amerika Syarikat, dalam satu pertemuan antara menteri-menteri ekonomi blok serantau itu.

Berikutan perkara tersebut, Singapura akan menggandakan integrasi ekonomi serantau, sambil mencari inisiatif pertumbuhan baharu seperti ekonomi digital dan hijau.

Semasa pertemuan antara 10 anggota ASEAN pada pagi Khamis (10 Apr), negara-negara ASEAN menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Washington untuk menangani kebimbangan berkaitan perdagangan, mengekalkan hubungan, sambil menjaga kepentingan ekonomi ASEAN.

Menurut blok tersebut, ia bersikap terbuka dalam mencari penyelesaian yang berhasil bagi kedua-dua pihak.

Ini termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan, penambahbaikan rantaian bekalan, dan menggunakan teknologi digital serta inovasi.

Ia juga sedang menimbangkan rangka kerja kerjasama ekonomi ASEAN-Amerika Syarikat untuk mengeratkan pertalian dan mengukuhkan hubungan ekonomi yang saling menguntungkan.

Ini setelah Presiden Trump menjejas Perjanjian Dagangan Bebas, dan menjejas kepercayaan dalam kalangan perniagaan.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong mengesahkan komitmen Singapura untuk bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN dalam masa-masa mencabar.

Memandangkan rundingan masih lancar dan dalam perbincangan, ASEAN merancang untuk mempelbagaikan dan meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam rantau Asia Tenggara.

Dalam pada itu, satu pasukan bertindak serantau akan ditubuhkan untuk membincangkan potensi kesan ekonomi daripada tarif yang dikenakan, dan untuk melindungi kepentingan perdagangan dan pelaburan ASEAN.

Sementara itu, Singapura juga akan membentuk pasukan bertindak bagi menyokong perniagaan dan pekerja sebagai respons terhadap tarif baharu Amerika Syarikat yang boleh memperlahankan rentak pertumbuhan ekonomi dan memberi kesan kepada pekerjaan dan gaji.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan