ASEAN perlu teruskan penyepaduan serantau, kata Lim Hng Kiang
ASEAN "perlu menepati sasarannya" dalam mewujudkan Masyarakat Ekonomi ASEAN (AEC) untuk meningkatkan keupayaan ekonomi-ekonomi serantau sambil mengekalkan kewibawaannya, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan) Lim Hng Kiang hari ini (26 Apr).
SINGAPURA: ASEAN "perlu menepati sasarannya" dalam mewujudkan Masyarakat Ekonomi ASEAN (AEC) untuk meningkatkan keupayaan ekonomi-ekonomi serantau sambil mengekalkan kewibawaannya, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan) Lim Hng Kiang hari ini (26 Apr).
Beliau menambah bahawa tekad perkumpulan serantau ini dalam memajukan visi 2025 AEC "memainkan peranan penting di dunia di mana sentimen antiglobalisasi dan retorik perlindungan kian meningkat".
Encik Lim berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pembukaan di Mesyuarat Majlis AEC yang ke-16, iaitu sebahagian daripada mesyuarat-mesyuarat dan Sidang Puncak ASEAN ke-32 yang berlangsung di Singapura minggu ini.
Encik Lim berkata AEC pada 2015 adalah "satu perkembangan penting" dalam usaha penyepaduan ekonomi serantau. Usaha-usaha kolektif membawa kepada banyak manfaat dan peluang bagi para penduduk di rantau ini.
Encik Lim juga menyentuh tentang perkembangan-perkembangan yang akan membawa cabaran-cabaran dan peluang baru.
Selain sentimen-sentimen yang muncul dengan adanya dasar perlindungan, kemunculan Revolusi Perindustrian yang Keempat dan ekonomi digital juga menyebabkan gangguan berbilang dimensi dan berlangsung pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kata beliau.
Dengan e-dagang sebagai "realiti baru" perniagaan hari ini, penting untuk mempertingkat sekitaran operasi perniagaan dalam ekonomi digital, kata Encik Lim. Ini termasuk perlunya memudahkan pergerakan barangan merentasi sempadan secara serentak.
ASEAN juga perlu memberi lebih tumpuan kepada usaha memudahkan perdagangan.
PERKUKUH ASEAN MENJADI RANTAU YANG BERDAYA TAHAN DAN INOVATIF
Singapura, selaku pengerusi ASEAN kali ini, akan memberi tumpuan untuk mengukuhkan persatuan itu untuk menjadi "rantau yang berdaya tahan dan inovatif yang mampu membuat penyesuaian dan berkembang maju di tengah-tengah ketidakpastian global dan memanfaatkan trend-trend yang kian muncul."
Beberapa usaha untuk memudahkan lagi perdagangan dan ketersambungan serantau di ASEAN juga sudah membuahkan hasil, menurut Encik Lim.
Misalnya, ASEAN Single Window, satu platform online untuk mempercepatkan pelepasan kastam melalui pertukaran maklumat secara elektronik rentas sempadan, kini beroperasi dalam kalangan lima anggota negara ASEAN. Negara-negara anggota lain akan menyertai penggunaan platform online itu tidak lama lagi, kata Encik Lim.
Ini dapat membantu mengurangkan kos urus niaga perniagaan dan memudahkan syarikat-syarikat untuk memperoleh pelepasan kastam di ASEAN.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.