ASEAN harus tingkat usaha jana tenaga nuklear meski perlu tangani bencana alam, batas geografi
Encik Rafael Mariano Grossi, Pengarah Agung Agensi Tenaga Atom Antarabangsa bercakap kepada media tentang kuasa nuklear semasa di Hotel Shangri-La, Singapura pada 25 Julai 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long
Negara-negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) juga perlu menyebarkan lebih maklumat untuk menangani tanggapan orang awam mengenai tenaga nuklear yang dipengaruhi oleh bencana nuklear sebelum ini seperti insiden Fukushima pada 2011, menurut ketua badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam satu temu bual media.
Encik Grossi berada di Singapura pada Jumaat sebagai sebahagian daripada program zamil S R Nathan, sebuah program peringkat tinggi untuk pemimpin asing dan individu terkemuka melawat negara ini.
Sebagai sebahagian daripada lawatannya, Encik Grossi mengadakan pertemuan dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Lawrence Wong dan menyampaikan ceramah yang dihoskan oleh Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura (SNRSI) yang baru dilancarkan di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Encik Grossi dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu kemudian memeterai perjanjian yang diperbaharui untuk membantu negara-negara membangun membina kepakaran dalam nuklear menerusi lawatan saintifik dan kursus latihan.
Semasa ditemui media di Hotel Shangri-La, Encik Grossi mengulangi kepercayaan beliau bahawa Singapura berada di kedudukan yang baik untuk mengamalkan teknologi nuklear kerana negara ini "tidak berdepan sebarang cabaran yang tidak dapat diatasi".
"Singapura adalah kes yang sangat istimewa kerana negara ini, ia mempunyai asas teknologi yang baik secara umum... ia mempunyai pengawal selia matang, pengawal selia nuklear. Ia mempunyai keupayaan penyelidikan keselamatan nuklear yang sangat baik," kata Encik Grossi sambil menambah 'tiang institusi' yang lazimnya perlu hadir dalam sesebuah negara baharu, sudah pun ada di Singapura.
"Saya rasa semua kerja asas sudah selesai dijalankan di sini. Jadi dalam pendapatan saya, apabila negara ini, pemerintah negara ini, memutuskan untuk melaksanakan sesebuah program, ia akan dilaksanakan dengan begitu pantas," katanya.
"Saya tidak lihat, seperti yang saya katakan, sebarang hambatan. Di sesetengah negara, ia adalah kewangan - mustahil - atau kurang keupayaan manusia, tenaga kerja, anda tidak lihat masalah sebegitu di Singapura.
"Ini sebab mengapa saya katakan di permulaan perbualan saya bahawa terdapat banyak langkah yang sudah pun diselesaikan di Singapura."
Sungguhpun begitu, Encik Grossi berkata bahawa Encik Wong dan Encik Tharman sudah pun memberitahunya dalam pertemuan mereka bahawa tiadak keputusan sudah dibuat berhubung penempatan tenaga nuklear di Singapura.
Pada masa yang sama, Singapura sudah mengambil langkah untuk mengembangkan kajian berhubung keselamatan nuklear, termasuk penubuhan SNRSI pada awal bulan ini untuk mempertingkatkan lagi kajian dalam bidang itu.
Perjanjian Singapura dengan IAEA yang diperbaharui akan membolehkan para pakar nuklear antarabangsa untuk berhimpun di Singapura bagi menjalankan aktiviti membina keupayaan bagi kajian nuklear, yang juga akan memanfaatkan para peserta dari Singapura.
Tenaga nuklear adalah sumber potensi tenaga bersih dan kemajuan teknologi nuklear, terutama sekali dalam bidang reaktor modular kecil (SMR), menjadikannya pilihan yang berpotensi sedang Singapura meneruskan usaha mengurangkan pelepasan karbon.
Pada 2012, pemerintah Singapura berkata satu kajian pra-kebolehlaksanaan dijalankan menyimpulkan bahawa teknologi tenaga nuklear pada ketika itu tidak sesuai untuk kegunaan kerana risikonya tetap mengatasi manfaat bagi sebuah negara yang kecil dan padat seperti Singapura.
Menjawab satu lagi soalan mengenai batasan geografi di Singapura, Encik Grossi berkata kekurangan ruang bukan satu faktor negatif.
"Sekiranya terdapat penempatan di sini, walaupun dalam ruang geografi yang terhad - ia tidak akan menjadi satu masalah untuk mempunyai sebarang langkah berjaga-jaga.
"Langkah-langkah itu termasuk protokol dan prosedur mengenai apa yang harus dilakukan sekiranya berlaku kemalangan," kata Encik Grossi.
Tanggapan bahawa memperkenalkan tenaga nuklear akan menghasilkan risiko segera ... bukan sesuatu yang berkekalan secara hakikatnya. Tentu sekali, sebarang teknologi - dan nuklear tidak dikecualikan - melibatkan risiko," kata Encik Grossi, sambil menambah sebarang risiko harus ditangani dan dikurangkan ke tahap minimum.
Apabila diminta mengulas mengapa beliau tidak menganggap kekurangan ruang sebagai satu batasan, Encik Grossi berkata andaiannya adalah satu "senario kes terburuk".
"Saya akan katakan, jika ini adalah syarat-syaratnya, kegiatan perindustrian lain... juga akan mempunyai kesan negatif dalam ruang yang agak terhad seperti di sini. Ini sebab mengapa terdapat rancangan khusus baginya.
"Biar saya katakan begini, mana-mana ruang geografi adalah terhad dalam beberapa cara. Apabila anda mempunyai sebuah tenaga kuasa nuklear di China, sebagai contoh, tentu sekali, negara itu besar, namun kawasan sekeliling loji itu juga akan terjejas," katanya.
CITA-CITA ASEAN BAGI TENAGA NUKLEAR
Buat masa ini, tiada sebarang reaktor nuklear yang beroperasi di Asia Tenggara tetapi negara-negara seperti Filipina dan Indonesia sudah menetapkan sasaran untuk mengendalikan loji tenaga nuklear pada awal tahun 2030an.
Sungguhpun begitu, rantau ini mudah terdedah kepada gempa bumi, yang merupakan salah satu daripada beberapa faktor yang dipertimbangkan oleh IAEA apabila memberi nasihat tentang tempat sesuai untuk menempatkan loji nuklear.
"IAEA mempunyai khidmat khusus bagi tujuan itu. Di mana anda rancang untuk membina loji tenaga nuklear itu? Dan di sini, apa yang dipertimbangkan adalah situasi geologi tempat itu, akses kepada bekalan air antara lain," kata Encik Grossi.
Sebagai sebuah pertubuhan antara pemerintah, IAEA bekerjasama dengan negara-negara anggota untuk menggalakkan penggunaan tenaga nuklear secara selamat dan aman.
Singapura adalah seorang negara anggota sejak 1967.
"IAEA mempunyai kepakaran dan individu yang merupakan pakar dalam konsep penempatan. Jadi ini merupakan elemen sangat penting," kata Encik Grossi.
Apabila ditanya jika IAEA mempertimbangkan kestabilan politik sesebuah negara sebagai faktor utama bagi membenarkannya untuk menceburi teknologi nuklear, Encik Grossi bekrata ia adalah 'hak kedaulatan' setiap negara untuk memutuskan sama ada ia mahu melibatkan diri dalam program nuklear.
Namun beliau berkata negara-negara yang sedang melalui pergolakan politik selalunya tidak akan menceburi sesuatu yang perlukan banyak usaha institusi dan perancangan.
Encik Grossi juga berkata ia terserah kepada setiap negara ASEAN untuk memutuskan sama ada untuk meneroka tenaga nuklear seorang diri tanpa kerjasama negara-negara lain.
Justeru, perkongsian dua hala juga boleh dilakukan. Beliau merujuk kepada contoh loji tenaga Krsko di Slovenia, yang membekalkan tenaga kepada Slovenia dan Croatia.
ORANG AWAM PERLU DIMAKLUMKAN
"Hakikatnya adalah semua pemerintah ASEAN sedang menghubungi agensi ini dan memberitahu saya bahawa mereka mahu tenaga nuklear... jadi terdapat banyak minat dalam bidang itu," kata Encik Grossi.
"Ia jelas bahawa kita mempunyai pengalaman nuklear selama 60 tahun di dunia, bahawa lebih 400 reaktor beroperasi di seluruh dunia tanpa sebarang masalah."
"Jadi dalam pendapat saya, ia sangat bermanfaat untuk lakukan lebih lagi, lakukan lebih lagi perkongsian maklumat, kempen pendidikan, penyebaran maklumat ini kerana ia benar bahawa tanggapan awam mungkin masih dipengaruhi oleh inersia tertentu dari contoh-contoh silam."
Sebagai contoh, insiden yang berlaku di Fukushima "meninggalkan kesan yang cukup hebat bagi sesetengah lapisan masyarakat," katanya, sambil merujuk kepada krisis loji tenaga nuklear 2011 di wilayah Fukushima, Jepun.
Bagi menangani kebimbangan sedemikian, Encik Grossi berkata ketelusan adalah penting.
Beliau menambah, banyak sisa air sudah dirawat dan dilepaskan secara terkawal.
"Jadi setakat ini, baik baik sahaja. Tetapi kita akan teruskan. Saya katakan IAEA akan hadir sehingga titisan sisa air terakhir dilepaskan.
"Jadi ini saya fikir, adalah cara untuk membuktikan bahawa kita ada, bahawa kita tidak akan ke mana-mana."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.